Sunday 11 December 2011

LAYAKKAH WARGA PENYU TERIMA BR1M?



Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

KERAJAAN Persekutuan dan kerajaan Negeri Sabah disaran menyatakan pendirian sama ada ‘Warga Penyu’ iaitu PATI yang mendapat kad pengenalan projek melalui OPS Gembleng atau Modus Operandi PKBS (Persatuan Kebangsaan Bugis Bersatu) layak disenaraikan sebagai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu yang menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi untuk memberi peringatan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah agar mengecualikan ‘Warga Penyu’ ini dalam apa juga bantuan Kerajaan kerana kehadiran mereka secara tidak sah di Negara ini menyebabkan rakyat Malaysia terutama di Sabah marah kepada Kerajaan Barisan Nasional.

Berdasarkan pengakuan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman di Dewan Rakyat baru-baru ini, seramai 428,144 orang asing telah diberi Kerakyatan Malaysia melalui Perkara 16, Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan sehingga 15 Oktober 2011, namun kata Patrick jumlah tersebut bercanggah dengan jawapannya sebelum ini iaitu 1,365,027 orang.

Jika 50 % daripada ‘Warga Penyu’ ini berpendapatan di bawah RM3,000; maka Kerajaan terpaksa membocorkan berpuluh juta dana awam untuk Program BR1M kerana majoriti mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi mempunyai pendapatan besar tidak berekod daripada aktiviti haram seperti penyeludupan dan pengedaran barangan belum dibayar cukai.

“Memang kita kesal jika mereka (Warga Penyu) layak menerima BR1M disebabkan wang tersebut akan mengalir keluar ke negara asal mereka iaitu Filipina, Indonesia, Pakistan dan India,” tegas Patrick yang kesal kerana kerajaan Persekutuan berdolak dalih berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja berhubung kerakyatan songsang di Sabah.

Kata Patrick, berdasarkan buku ‘007-Lelaki Malaysia Terakhir’ yang ditulis Mutalib M.D, seramai 322,903 orang warga asing Indonesia, Filipina, India dan Pakistan telah diberikan kad pengenalan projek melalui peruntukan nombor kad pengenalan biru yang sirinya bermula daripada H 0288001 hingga H0384000; H 0480001 hingga H0576000; H 0609601 hingga H0610000; H 0658001 hingga H0658200; H 0658401 hingga H0659000 dan H 0666001 hingga H0666400.

“Jumlah ini bertambah ramai kerana mereka beranak pinak dan kerajaan sudah hilang jejak terhadap mereka kerana ramai di antara mereka mendapat MyKad yang berkod 12, 49 sekalipun dilahirkan di Filipina atau Indonesia; ataupun dilahirkan di sabah ketika ibu bapa mereka masih memegang kerakyatan asing atau tidak langsung mempunyai dokumen,” ujar Patrick yang mendesak Kerajaan Negeri membuat pendirian tegas menghalang mereka ini menikmati kemakmuran negeri ini setelah mendapat kad pengenalan melalui jalan songsang.

Kelmarin, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Ahmad Husni Hanadzlah memaklumkan sekitar 5.2 juta rakyat Malaysia akan mendaftar untuk mendapatkan bantuan kewangan RM500 dari program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Kumpulan sasaran itu terdiri daripada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 bagi satu isi rumah serta ramai tanggungan, warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan ahli keluarga yang berdaftar di bawah program e-Kasih.

Dalam perkembangan lain, Patrick memaklumkan sesiapa yang ingin menurunkan tandatangan Kempen Mengkaji Semula Perjanjian Malaysia boleh menghubungi melalui talian 0198117369 atau menurunkan komen di Sabahkini.net.

No comments:

Post a Comment