Tuesday 6 December 2011

MALAYSIA-QATAR TUBUH DANA US$2 BILION



DATUK Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia dan Qatar pada Isnin bersetuju bekerjasama bagi menubuhkan satu dana Malaysia-Qatar bernilai US$2 bilion.

Katanya langkah untuk menubuhkan dana itu adalah sebagai satu langkah meningkatkan kerjasama dan pelaburan antara kedua-dua negara.

"Kedua-dua kami bersetuju bahawa setiap negara akan mengenepikan US$1 bilion bagi memulakan pencarian peluang pelaburan di Malaysia dan Qatar serta di seluruh rantau ini," katanya pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Hamad Jassim Jabr Al Thani di sini.

Sheikh Hamad tiba di sini pada Isnin bagi melakukan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia.

Ini merupakan lawatan kerja pertama Sheikh Hamad ke sini sebagai Perdana Menteri. Beliau melawat negara ini pada 2006 sebagai Perdana Menteri Pertama.

Mengenai saiz dana itu, katanya kedua-dua mereka bersetuju bahawa dana itu perlu mempunyai saiz US$2 bilion, dengan setiap negara menyumbang US$1 bilion.

"Kedua-dua negara akan melengkapkan butirannya selepas ini, yang termasuk mengkaji sesetengah peluang pelaburan," katanya.

Najib juga berkata kedua-dua negara juga berkeyakinan akan dapat meningkatkan lagi perdagangan keseluruhan dan kepelbagaian produk yang boleh dijual antara kedua-dua negara.

Ini adalah berikutan peningkatan perdagangan keseluruhan antara Malaysia dan Qatar kepada hampir 200 peratus sehingga mencecah RM3.3 bilion di dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Katanya Sheikh Hamad telah memberikan respons yang sangat positif terhadap permintaan yang dibuat Petronas baru-baru ini bagi membeli gas asli dari Qatar dan perkara itu sedang dipertimbangkan dan dimuktamadkan antara kedua-dua negara.

Ketika ditanya bila Malaysia akan membeli gas dari Qatar, katanya: "Kita sedang melihat keperluan Petronas, kita akan mendedahkan butirannya kemudian."

"Seperti yang anda tahu, kita sedang membina terminal luar pesisir yang dijangka siap menjelang Julai tahun depan. Jadi, sebaik sahaja terminal gas itu siap, keperluan untuk mengimport lebih banyak gas asli akan wujud," katanya.

Sambil menyifatkan perbincangan yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin sebagai sangat produktif dan berhasil, Najib berkata Sheikh Hamad telah mencadangkan Malaysia supaya membuka satu bilik pameran negara di Doha bagi merangsangkan lagi perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

"Saya telah diberi persetujuan kepada cadangan ini kerana melalui penubuhan bilik pameran itu di Doha, ia berpotensi bagi rakyat Qatar dan yang tinggal di rantau itu untuk, melihat sendiri dan membiasakan diri dengan kepelbagai produk dan perkhidmatan yang kita boleh jual di rantau itu yang akan menjadi sumber utama tarikan," katanya.

Beliau berkata mereka juga telah membincangkan penglibatan penting pelaburan Qatar berkaitan pembangunan di Sungai Besi di mana pelan induknya sedang diusahakan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Sebaik sahaja pelan induk itu siap, pelaburan Qatar kemudiannya akan mengambil bahagian di dalam pembangunan semula tanah di Sungai Besi itu," katanya.

Najib berkata kedua-dua pemimpin juga akur dengan kemungkinan dijalin kerjasama yang lebih rapat dan menyatakan bahawa wilayah Iskandar Malaysia adalah wilayah yang menawarkan peluang pelaburan yang sangat meluas.

"Pada peringkat negara, komitmen kami ialah untuk melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bermakna terdapat peluang dijalin pelaburan lebih meluas dari Qatar ke Malaysia.

Katanya kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju bahawa kedua-dua negara perlu bekerjasama memastikan akan wujud ketelusan dan tadbir urus yang lebih meluas terhadap undang-undang dan hak kemanusiaan di wilayah itu.

"Sebab itu, melalui kepimpinan yang berbahagia, kami menyokong inisiatif dan kepimpinan Qatar di rantau itu," katanya.

Katanya beliau juga akan memberi taklimat terhadap Sheikh Hamad mengenai kemungkinan penyertaan di dalam pembangunan Langkawi. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment