Friday 9 December 2011

MARA LATIH LEBIH 760,000 ANAK BUMIPUTERA



SERAMAI 763,235 orang anak Bumiputera telah menerima pendidikan di bawah sistem latihan kemahiran dan akademik yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ketua Pengarahnya Datuk Ibrahim bin Ahmad berkata di samping itu, MARA juga telah memberikan bantuan pinjaman pelajaran berjumlah RM14 bilion kepada 407,499 pelajar di mana 369,216 untuk tajaan dalam negara, manakala selebihnya seramai 38,283 pelajar mendapat penajaan luar negara.

"MARA juga mempunyai 321 institusi pendidikan di seluruh Malaysia antaranya 223 buah GIATMARA yang mempunyai 254,003 pelajar, dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mempunyai 149,722 pelajar," katanya pada Majlis Malam Penghargaan dan Jamuan Tahunan MARA 2011 di Kuala Lumpur.

Ibrahim berkata sehingga kini MARA menyediakan kira-kira 7,000 lot perniagaaan yang merangkumi premis perniagaan, Kawasan Industri Makanan MARA yang menjadi hab pengeluaran produk makanan halal, Inkubator Teknologi Makanan dan Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU).

Katanya selain itu seramai 44,649 usahawan Bumiputera telah mendapat pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Am bagi sektor perdagangan, perkhidmatan dan pembuatan, Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres,untuk kerja-kerja seperti kontrak pembinaan, bekalan, perkhidmatan dan elektrikal dan Skim Pembiayaan Perniagaan melibatkan peruntukan melebihi RM 2 bilion. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment