Tuesday 6 December 2011

MASWING GANTI FIREFLY DI SABAH



PERKHIDMATAN udara antara Sabah dan Sarawak tidak akan terjejas walaupun syarikat penerbangan tambang rendah, Firefly, telah menghentikan operasi antara dua negeri itu mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri semasa memberi jaminan itu berkata operasi Firefly di dua negeri itu akan diambil alih oleh MasWing, anak syarikat Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAS).

"Kerajaan tidak akan membiarkan rakyat menghadapi kesukaran mendapatkan kemudahan penerbangan antara Sabah dan Sarawak dan tidak ada kekurangan kekerapan penerbangan.

"Saya percaya MAS akhirnya akan mengambil alih perkhidmatan dari Firefly," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat mengenai kemajuan projek pembesaran Lapangan Terbang Sibu (LTS) di sini pada Isnin.

Katanya perbincangan peringkat tinggi antara MAS dan AirAsia masih diteruskan di bawah rangka kerjasama menyeluruh bagi mencari penyelesaian kepada masalah perkhidmatan udara luar bandar di dua buah negeri itu.

Abdul Rahim berkata MAS perlu melakukan kajian sekiranya ada permintaan ketara untuk penerbangan di antara dua negeri itu dan dari dua negeri itu ke Kuala Lumpur.

Menurutnya Firefly Flight Sdn Bhd menghentikan perkhidmatannya ekoran peningkatan kos operasi walaupun terdapat permintaan.

Mengenai kerja pembesaran LTS bernilai RM136.888 juta, katanya projek itu dijangka siap lebih awal daripada jadual asal pada 12 Sept, 2012.

Katanya sehingga 30 Nov lalu, pakej pertama telah siap 58.75 peratus berbanding 56.50 peratus mengikut jadual manakala fasa kedua kini siap 44.50 peratus iaitu dua peratus lebih awal daripada jadual.

Abdul Rahim berkata menjelang 19 Dis ini, pusat operasi LTS akan dipindahkan ke Sayap Barat yang baru dan berhawa dingin dengan kemudahan 18 kaunter pendaftaran masuk berbanding lapan pada masa ini.

Katanya pembesaran LTS itu melibatkan kerja menaik taraf bangunan Terminal, tempat letak kereta, empat jambatan udara dan tiga tapak terbuka manakala apronnya akan diperbesarkan untuk menampung lebih banyak pesawat.

Katanya ruang dalam kawasan Sayap Barat dan Timur akan diperbesarkan dengan kira-kira 50,000 meter persegi bagi membolehkan lebih banyak kemudahan dan ruang komersial untuk disewa disediakan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment