Tuesday 20 December 2011

MAXI-NITA BERJAYA TANGANI MASALAH RAKYAT



KEPIMPINAN Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili dan Adun Tandek, Anita Baranting berjaya membawa pembangunan, kesejahteraan dan sedang menyelesaikan masalah hak tanah adat.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tandek, Hendrus Anding berkata sejak PBS menyertai Barisan Nasinal (BN) 2003, kedua-dua wakil rakyat PBS itu membawa banyak pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, kemudahan persekolahan, bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar dan pekan.

“Pelbagai bantuan kerajaan termasuk kenaikan elaun bulanan warga emas dan balu, Program Bantuan Rumah dan kemudahan kepada penduduk nelayan. Mengenai tanah NCR dan syarikat FMU, Dr Maximus telah mengadakan beberapa mesyuarat peringkat daerah bersama pemimpin masyarakat dan wakil dari syarikat Begaraya dan AFC dan terbaru bersama Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur.

“Hasilnya kerajaan telah bersetuju meluluskan pengeluaran kira-kira 20,000 ekar tanah di Kota Marudu dalam bentuk Geran Komunal. YB Anita juga telah menyuarkan perkara itu beberapa kali dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah,” kata Hendrus sebagai reaksi terhadap kenyataan mantan Ketua Kampung Kg Bunsadan, Jaipin Mohigal.

Dalam kenyataannya tersiar di akhbar New Sabah Times (19 Dis), Jaipin menyifatkan kepimpinan kedua-dua wakil rakyat tersebut sebagai ‘Pembawa Kutuk’.

Hendrus yang juga Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Tandek menegaskan, mengenai soal tanah, adalah terbukti Dr Maximus dan Anita lebih banyak bercakap di media bagi mencari penyelesaian dan hasilnya pihak berkaitan telah memberikan perhatian.

Mengenai kriteria calon boleh menang dalam pilihan raya, Hendrus yakin pihak Perdana Menteri dan Ketua Menteri memiliki kaedah atau indeks pengukur untuk menentukan bahawa Dr Maximus dan Anita boleh bertanding semula dalam pilihan raya.

Tegas Hendrus lagi, siapapun boleh bercakap mengenai kriteria calon boleh menang termasuk seorang mantan Ketua Kampung yang suatu masa dahulu memang amat rapat dengan kedua-dua pemimpin berkenaan namun keputusan dibuat pucuk kepimpinan BN.

No comments:

Post a Comment