Friday 9 December 2011

MIC PASTIKAN SABAH 'SIMPANAN TETAP' BN



JENTERA pilihan raya MIC Sabah bersiap sedia untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, Datuk V Jothi berkata MIC negeri akan mengadakan mesyuarat pada 11 Disember untuk berbincang mengenai perkara itu, khususnya perkembangan terkini daripada bahagian dan cawangan berhubung persediaan itu.

"Sungguhpun kaum India adalah golongan minoriti di Sabah, namun MIC Negeri mengakui bahawa setiap undi itu penting dalam pilihan raya akan datang dan kami akan memastikan bahawa undi mereka memihak kepada BN," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran RM50,000 kepada Kuil Sri Subramaniyar di Lok Kawi, di Kota Kinabalu, semalam.

Jothi berkata MIC akan bekerjasama rapat dengan parti komponen lain dalam BN untuk meraih sokongan penuh daripada penduduk di Sabah, yang digelar 'simpanan tetap' bagi BN.

"MIC Sabah kerap kali turun ke akar umbi untuk berhubung dengan anggota kami dan kaum India keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata MIC Sabah dan kaum India di negeri ini amat berterima kasih kepada kepimpinan kerajaan pusat dan negeri kerana meluluskan geran itu.

"Ini jelas menzahirkan komitmen kerajaan terhadap kebebasan beragama. Saya percaya kaum India di negeri ini akan membalas kemurahan hati kerajaan ini dengan memberi sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada BN yang memerintah," katanya.

Jothi berkata geran RM50,000 yang diserahkan kepada Kuil Sri Subramaniyar itu adalah sebahagian daripada peruntukan khas persekutuan berjumlah RM400,000 yang diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Rumah Terbuka Deepavali MIC Negeri, di sini pada 30 Oktober tahun ini. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment