Monday 26 December 2011

MYKAD ANAK MUFTI PERLIS SUDAH SIAP

PERMOHONAN Mykad Sumaiyah Syahidah, yang dilapor dikritik bapanya, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, setelah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendakwa kanak-kanak perempuan itu bukan warganegara Malaysia, telah siap dan sedia untuk dikutip.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Mahmood Adam berkata siasatan di JPN Kuching semalam mendapati ia merupakan masalah komunikasi di kalangan kakitangan kaunter.

"Selepas disiasat, masalah yang berlaku di pejabat JPN Sarawak seperti dibangkitkan Dr Juanda adalah lebih kepada masalah komunikasi kakitangan kaunter yang kurang cekap untuk memberikan penjelasan terperinci berhubung mengapa pengemaskinian rekod peribadi perlu dibuat untuk permohonan dokuman berstatus tertentu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hal tersebut berkaitan dengan arahan berhubung Tatacara Pengendalian Permohonan Kad Pengenalan Kanak-Kanak 12 Tahun Yang Mempunyai Masalah Berkaitan Dengan Taraf Warganegara, yang dikuatkuasakan mulai 11 Jun 2009 bagi perkahwinan antara lelaki warganegara Malaysia dengan wanita rakyat asing, katanya.

Berdasarkan arahan itu, status anak hasil perkahwinan lelaki warganegara Malaysia dengan wanita rakyat asing perlu dikemaskini untuk tujuan permohonan kad pengenalan kali pertama.

Mahmood berkata ibu atau bapa perlu mengemukakan salinan sijil nikah atau sijil kahwin bagi pengesahan sebelum kad pengenalan dikeluarkan.

Dalam kes ini, beliau berkata isteri Dr Juanda adalah warganegara Indonesia dan pasangan itu mempunyai enam anak yang lahir pada 1997, 1999, 2000, 2004, 2006 dan 2010.

"Berdasarkan semakan JPN, semua rekod kelahiran mereka kecuali Sumaiyah telah dikemaskini sebelum surat arahan berhubung tatacara tersebut dikuatkuasakan.

"Manakala pengemaskinian rekod kelahiran Sumaiyah (anak ke-2) yang lahir pada 14 Jun 1999, dibuat pada 12 Jun 2009 sehari selepas arahan itu berkuatkuasa," katanya.

Dalam pada itu, Mahmood berkata KDN akan menyemak semula penempatan kakitangan di kaunter perkhidmatan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar cekap serta mahir mengendalikan maklumat, berurusan dengan pelanggan.

Manakala Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memohon maaf kepada Mufti Perlis Dr Juanda Jaya atas kesulitan ketika berurusan di pejabat JPN Kuching, Sarawak baru-baru ini bagi memohon Mykad anak perempuannya.

Ketua Pengarah JPN Datuk Jariah Mohd Said dalam satu kenyataan hari ini berkata isu itu timbul kerana petugas kaunter berkenaan tidak merujuk pegawai atasan bagi kes yang meragukan.

"JPN telah mengenal pasti masalah yang berbangkit dan segala usaha memperbaiki kelemahan telah diambil supaya kesemua pegawai yang bertugas di bahagian kaunter dapat melaksanakan tugas secara profesional," katanya yang turut mengulangi kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam seperti yang dilaporkan semalam.

Jumaat lepas, Dr Juanda dilapor mengkritik JPN setelah dimaklumkan anaknya, Sumaiyah Syahidah, tidak layak memohon kad pengenalan kerana dikatakan bukan warganegara Malaysia.

Jariah berkata kad pengenalan pemohon telah siap dan sedia untuk dikutip di pejabat JPN Kuching.

"Sesungguhnya, jabatan ini tidak sesekali bermaksud untuk menafikan hak serta status kewarganegaraan anak beliau sebagai warganegara Malaysia," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment