Sunday 4 December 2011

NKRA GAGAL, PENDUDUK BINA JALAN SENDIRI?



BINA….Jentolak yang disewa oleh penduduk Kg. Rampayan sedang membina jalan raya ke tanah pertanian mereka. Gambar sisipan Rijob.

Oleh : MARUTIN ANSIUNG

SERAMAI 49 keluarga di Kampung Rampayan, Tulid, kira-kira 60 kilometer dari Keningau terpaksa membina jalan raya sendiri sejauh 3 kilometer ke tanah pertanian mereka setelah kerajaan Barisan Nasional mengabaikan tanggung jawab mereka dan membuktikan kegagalan NKRA di Sabah.

Pengerusi JKKK Kg. Rampayan, Rijob Lidius berkata, mereka terpaksa membina sendiri jalan raya ke tanah pertanian mereka yang diusahakan dengan tanaman getah dan kelapa sawit kerana permohonan mereka sejak dua puluh tahun lalu belum ditunaikan sehingga kini.

“Kami sudah bosan dengan janji demi janji termasuk NKRA dan dalam masa yang sama terpaksa mengangkut hasil-hasil pertanian terutama getah dengan tenaga sendiri; maka kami terpaksa membina jalan sendiri. Kami menyewa jentolak RM200 satu jam,” katanya kepada Sabahkini.net kelmarin.

Menurut Rijob, kos pembinaan jalan raya dikutip dari setiap keluarga yang mempunyai kebun di kawasan itu.

Katanya, kerja-kerja pembinaan jalan tanah merah (tanpa batu kelikir) bermula pada 28 November lepas dan setakat 1 Disember sudah siap lebih kurang 2 kilometer.

Justeru itu katanya, mereka berharap, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah atau Jabatan Kerjaraya akan menaikrataf jalan raya itu dengan membubuh batu kelikir.

Tambahnya, pembinaan jalan raya yang sempurna di kawasan itu amat penting bagi memudahkan penduduk terbabit mengeluarkan hasil tanaman mereka.

No comments:

Post a Comment