Friday 16 December 2011

PELABURAN KUMULATIF SDC RM63.16 BILION


PELABURAN kumulatif aku janji di bawah projek Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang diterajui sektor swasta setakat 30 Nov, 2011 telah mencecah RM63.16 bilion, manakala pelaburan sebenar berjumlah RM16.05 bilion, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Musa berkata bagaimanapun angka-angka itu tidak termasuk projek-projek permulaan SDC yang dikenal pasti.

Kata beliau daripada RM1.27 bilion yang diperuntukkan bagi projek-projek SDC dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), RM1 bilion telah disalurkan kepada Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

"Sejumlah RM958 juta, atau 94.02 peratus daripada keseluruhan peruntukan yang berikan kepada SEDIA sudahpun dibelanjakan setakat 5 Disember, 2011. Baki peruntukan yang belum dikeluarkan dijangka disalurkan kepada SEDIA tahun depan," katanya pada satu mesyuarat dengan ahli SEDIA di sini hari ini.

Musa, yang juga menteri kewangan negeri dan pengerusi SEDIA, berkata dalam rancangan pelaksanaan kedua RMK-10, SDC akan diberikan peruntukan sebanyak RM416 juta, terdiri daripada RM206 juta yang akan dibelanjakan tahun depan dan RM210 juta bagi 2013.

Menurut beliau SEDIA akan terus melaksanakan projek-projek SDC dan menjalankan projek-projek baharu, termasuk projek-projek permulaan di bawah Program Transformasi Ekonomi. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment