Friday 9 December 2011

PELANCONG MAUT DIRODOK GAJAH DI TABIN



SEORANG pelancong Australia maut selepas diserang oleh gajah ketika mengambil gambar di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin kelmarin.

Jenna O’grady Donley, 26, (gambar) diserang oleh gajah, apabila terdengar bunyi dan juga flash (kerlipan) kamera dalam kejadian pada jam 6.30 pagi itu.

Saksi mendakwa wanita itu tidak dapat melarikan diri apabila tiba-tiba gajah itu menyerangnya manakala rakan wanita itu dan juga jurupandu tidak cedera dalam serangan di kawasan hidupan luar berkeluasan 122,539 hektar kira-kira 100km dari Lahad Datu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Negeri, Dr Laurentius Ambu berkata Jenna dengan jurupandu pergi ke bahagian lumpur dan ingin melihat hidupan liar itu ketika mereka dalam perjalanan balik ke resort.

Laurentius berkata kumpulan itu telah pergi ke sana untuk mengambil gambar gajah dan gajah yang menyerang itu dipercayai gajah liar.

“Gajah liar biasanya akan memencilkan diri dan perlakuannya juga sukar diramal dan ia amat bahaya,” katanya sambil menambah mereka sepatutnya mengambilnya dari jarak jauh terhadap gajah itu atau mana-mana hidupan liar.

Beliau difahamkan wanita itu telah berhenti kira-kira 10 meter dari haiwan itu dan mula mengetik kamera untuk mengambil gambar.

“Ini mungkin menimbulkan kemarahan gajah ini dan tiba-tiba ia menyerang mereka,” katanya sambil menambah yang lain tidak cedera tetapi wanita itu tidak dapat melarikan diri kerana jaraknya dekat dengan haiwan itu,” kata Laurentius.

Beliau berkata polis sedang menyiasat kejadian ini dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Lahad Datu untuk bedah siasat. Mangsa adalah seorang veterinar dari Sydney.

No comments:

Post a Comment