Thursday 8 December 2011

PEMBANGKANG SEKAT GENERASI MUDA



PAKATAN pembangkang tidak mahu memberi laluan kepada generasi muda untuk mengambil alih kepimpinan mereka, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Miri, Sarawak.

Katanya ini jelas terbukti daripada kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang mengesahkan akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut Mohd Shafie, pendirian Nik Abdul Aziz, 80, ini bertentangan dengan langkah Barisan Nasional (BN) yang bersedia meletakkan lebih ramai calon muda dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kita sudah bersetuju untuk mengetengahkan calon muda supaya dapat menjadi barisan pelapis kepada kepimpinan yang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek bekalan air luar bandar di Kampung Kuala Sibuti di Miri.

Katanya hanya rakyat yang akan dapat menentukan sama ada akan terus menyokong pemimpin yang sudah berumur ataupun memilih mereka yang lebih muda.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata beliau yakin Sabah dan Sarawak akan terus kekal sebagai kubu kuat BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya tiada sebab untuk rakyat Sabah dan Sarawak untuk memberi sokongan kepada pihak pembangkang yang baru-baru ini mempersoalkan keputusan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan besar kepada kedua-dua negeri ini.

Katanya kemudahan asas khususnya di luar bandar Sabah dan Sarawak masih kurang dan memerlukan peruntukan yang besar untuk dibangunkan.

Hakikat inilah yang menjadi landasan kepada kerajaan untuk memberikan keutamaan kepada Sabah dan Sarawak supaya rakyat khususnya di luar bandar dapat menikmati pembangunan yang lebih baik lagi, katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment