Wednesday 7 December 2011

PEMIMPIN PR DIGESA LAWAT SCORPENE



Oleh : AZMAN ARIFFIN

SEMPENA dengan penganjuran Pertunjukan Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang bermula kelmarin, pelbagai jenis pesawat pejuang dan kapal-kapal perang dari dalam dan luar negara akan turut dipamerkan kepada pengunjung. Tidak terkecuali, kapal selam kedua negara dari jenis Scorpene, KD Tun Abd Razak yang mana proses perolehannya disaluti skandal berkaitan dengan penyelewengan dan rasuah.

Lanjutan daripada pameran tersebut, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi dilaporkan telah menghantar surat-surat jemputan kepada 8 orang pemimpin Pakatan Rakyat untuk turut hadir bagi menyaksikan sendiri kapal selam tersebut dan teknologi di dalamnya.

Bagaimanapun menurut Zahid, 8 pemimpin Pakatan Rakyat yang dijemput itu masih belum memberikan sebarang respon kepada jemputan yang dihantar melalui Panglima Angkatan Laut itu, sama ada akan hadir atau tidak.

Nurul Izzah Anwar dilaporkan sekadar membalas surat jemputan menyatakan terima kasih tetapi tidak pula mengesahkan kehadiran.

Selain Nurul Izzah, penulis tidak pasti siapakah lagi 8 orang pemimpin yang dimaksudkan Zahid tapi dari segi kewajarannya penulis melihat penting untuk kesemua pemimpin Pakatan Rakyat yang dimaksudkan menerima pelawaan tersebut dengan hati terbuka, selain membuktikan kredebiliti kita kepada rakyat.

Walaupun penulis yakin semua persiapan yang sepatutnya sudah dibuat untuk menutup sebarang kelemahan dan kecacatan pada struktur serta peralatan lain dalam kapal selam tersebut, itu tidak sepatutnya menghalang kesemua pemimpin Pakatan Rakyat terbabit merasai sendiri pengalaman berada di dalam kapal selam yang penuh kontroversi ini.

Jika perlu, belayar dan menyelam bersamanya, semua ini bagi membuktikan bahawa pemimpin Pakatan Rakyat adalah termasuk dalam golongan pemimpin yang ‘walk the talk’ bukan ‘The Walking Dead’ seperti mana pemimpin UMNO dan BN.

Penulis juga yakin bahawa Tony Phua – antara yang paling lantang bercakap mengenai perolehan kapal selam ini, turut tersenarai dalam pemimpin Pakatan Rakyat yang dijemput.

Jika Tony benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan isu ini demi kepentingan rakyat, penulis tidak nampak kenapa beliau perlu melepaskan peluang keemasan ini bagi melihat sistem kapal selam ini dengan lebih dekat dan membuat perbandingan berdasarkan pengetahuannya.

Selepas itu mendedahkan kepada rakyat jika ada sebarang kelainan atau kecacatan pada sistem yang diperolehi. Dengan cara ini rakyat akan lebih yakin dengan nilai pendedahan itu, dibandingkan dengan pendedahan yang lebih bersifat andaian dan kebarangkalian atau sumber dari pihak lain.

Kementerian Pertahanan pula dalam masa yang sama, tidak seharusnya menghadkan lawatan pemimpin Pakatan Rakyat atas alasan kerahsiaan kerana lambat laun kalangan pemimpin ini yang akan menerajui kepimpinan negara kelak.

Ketika itu soal kerahsian bukan lagi isu kerana sebagai pemimpin dari parti yang memerintah, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk melindungi rahsia strategik negara dari pengetahuan pihak lain yang tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment