Saturday 3 December 2011

PEMUSATAN EKONOMI 2015 CARA ASEAN



Oleh : AHMAD FUAD YAHYA

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Asean akan kekal sebagai sebuah komuniti negara dalam masa hadapan yang boleh diramalkan seiring dengan pergerakannya ke arah pemusatan ekonomi yang lebih hebat menjelang 2015.

Beliau berkata apa yang dipelajari daripada krisis ekonomi semasa di Eropah ialah Asean tidak seharusnya mengikut cara yang dilakukan oleh orang Eropah.

"Telah ditekankan yang Asean ialah sebuah komuniti negara. Ia bukan satu kesatuan. Satu lagi contoh ialah Asean bekerja berdasarkan kata sepakat. Itulah cara Asean," kata beliau dalam satu artikel soal-jawab dalam terbitan terbaharu Majalah Tempo yang diterbitkan di Jakarta.

Temubual itu diadakan di luar acara Persidangan Asean ke-19 dan Persidangan-persidangan berkaitan yang diadakan di Nusa Dua, Bali, baru-baru ini.

Dalam artikel bertajuk ‘Perdana Menteri Malaysia Najib Razak: Asean mesti bekerjasama demi sebab geopolitik dan ekonomi’, Perdana Menteri berkata Asean akan terus diramalkan berdasarkan kedua-dua prinsip itu kerana ia berkembang dalam masa hadapan yang boleh dijangkakan.

Ditanya sama ada mata wang tunggal untuk Asean adalah satu idea yang buruk, Najib berkata:

"Kita tidak boleh ada satu mata wang tunggal tanpa mempunyai kesatuan politik untuk menguruskan pengurusan makro dan kewangan negara. Melainkan kita mempunyai satu kesatuan politik dengan erti kata yang sebenar-benarnya, (kalau tidak), kita tidak seharusnya mempunyai mata wang tunggal."

Najib juga berpendapat penyertaan Amerika Syarikat dan Rusia ke Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) sebagai peluang untuk Asean mengintegrasikan dirinya dengan ekonomi global dan pada masa yang sama, forum itu boleh menjuruskan kepada hubungan yang lebih baik di kalangan negara dalam EAS.

"AS merupakan pasaran yang besar dan hakikat yang kita adalah sebahagian daripada proses Perkongsian Trans-Pasifik, bermakna Asean sendiri atau negara-negara tertentu di Asean, boleh bergabung dengan ekonomi global. Inilah apa yang kita harap dapat buat," kata beliau.

Perdana Menteri berkata Asean bebas dan walaupun hubungannya dengan AS menjadi kian kukuh pada semua peringkat, ia tidak bermakna negara-negara anggota Asean perlu bersetuju untuk setiap satu isu.

"Ada masa-masanya kita berbeza pendapat mengenai isu, tetapi kita tidak seharusnya menjadi perengus," kata beliau.

Mengenai bagaimana Asean berurusan dengan ketegangan antara Filipina dan China berkenaan isu Laut China Selatan, Najib berkata sebagai perkumpulan 10 negara, Asean sudah pastinya mempunyai pendirian bersama.

"Adalah penting untuk Asean bersatu hati demi sebab-sebab geopolitik dan ekonomi," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment