Wednesday 7 December 2011

PENGGUNAAN DAKWAT KEKAL, JANGAN TERLALU YAKIN



Oleh : AZMAN ARIFFIN

WALAUPUN Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akhirnya memutuskan untuk menerima cadangan Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan dengan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang, ia bukanlah bermaksud sistem pilihanraya kita telah benar-benar bersih dari penyelewengan dan salah guna oleh kerajaan Barisan Nasional.

Sebenarnya di luar sana, ada banyak strategi manipulasi politik yang boleh digunakan parti pemerintah untuk memastikan kelebihan berpihak kepada mereka di dalam pilihanraya.

Kalau difikir-fikirkan sememangnya parti pemerintah tidak pernah mahu membenarkan parti-parti lawannya menang dengan mudah, apatah lagi menyerahkan negeri-negeri tradisi mereka untuk diperintah pembangkang. Sebelum mengulas lebih lanjut, izinkan penulis menoleh ke belakang sebentar.

Walaupun ramai melihat kempen pilihanraya umum 2008 sebagai kejayaan terbaik untuk demokrasi di Malaysia, tetapi selain Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, kedua negeri Selangor dan Perak sebenarnya dimenangi oleh BN dan UMNO kerana mereka adalah parti tunggal yang memperolehi jumlah kerusi terbanyak dibandingkan dengan PAS, PKR dan DAP yang ketika itu bergerak secara indvidu.

Tapi kerana kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghapuskan halangan utama antara PAS dan DAP, maka impian untuk melihat kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih Perak dan Selangor buat pertama kalinya menjadi kenyataan. Kebetulan pula kedua negeri tersebut terutama Selangor adalah negeri yang paling strategik di negara ini dan mempunyai hasil masyhul yang besar.

Situasi sama sebenarnya pernah berlaku di Perak pada 1969 bila Parti Progresif Penduduk (PPP) yang ketika itu antara parti pembangkang utama, hanya memerlukan satu kerusi sahaja untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Perak, tapi kerana keengganan PAS yang kebetulan mempunyai satu kerusi dalam DUN Perak menyertai kerjasama itu, hasrat tersebut telah terbengkalai. Jika tidak, sejarahnya mungkin berlainan dari sekarang.

Penulis sebenarnya masih ragu-ragu bahawa UMNO/BN benar-benar ikhlas mahu memastikan sistem pilihanraya di Malaysia ini benar-benar mencerminkan kehendak rakyat. Jika pun perjalanan pilihanraya itu sendiri benar-benar bersih dan bebas dari penyelewengan, kita masih lagi terdedah dengan kemungkinan ADUN atau Ahli Parlimen yang melompat parti.

Apa yang berlaku di Perak pada 2009 itu perlulah dijadikan teladan bahawa kita sebenarnya masih belum selamat daripada penyelewengan dan penipuan pilihanraya. Wakil yang dipilih ini pun satu hal juga, setelah menerima amanah dari rakyat, mereka mengingkarinya.

Penulis melihat masih banyak masalah yang perlu diperbaiki untuk menjadikan sistem pilihanraya kita benar-benar ‘kebal’ dari penipuan dan penyelewengan, terutama dari pihak pemerintah.

Amalan memindahkan pengundi yang benar-benar berleluasa sekarang adalah satu diantaranya. Baru-baru ini seorang pemimpin BN di Sarawak menyeru lebih 30,000 rakyat berasal dari Sarawak yang menetap di Johor untuk memindahkan tempat mengundi mereka ke negeri tersebut! Sarawak seperti yang kita semua tahu adalah ‘fixed deposit’ bagi BN.

Kesimpulan penulis, rakyat Malaysia sebenarnya masih belum selamat walaupun dengan perlaksanaan kesemua cadangan penambahbaikan ini. Persetujuan SPR untuk menerima cadangan dari Jawatankuasa Khas Parlimen ini hanyalah ‘divertion’ dari masalah yang sebenarnya selain mahu rakyat melihat seolahnya mereka adalah kerajaan terbaik dan mendengar masalah rakyat.

No comments:

Post a Comment