Sunday 4 December 2011

RAKYAT SABAH NIKMATI KEBEBASAN BERAGAMA


ALBUM…. Dr Lindai Lee bergambar ramai-ramai dengan Ketua-Ketua Gereja.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : HERRY CHUNG

RAKYAT di negara ini amat beruntung walaupun Agama Islam sebagai Agama rasmi Negara, tetapi rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai suku kaum bebas menganut agama mengikut kepercayaan masing-masing.

Seperti perayaan-perayaan Hari Raya Aidil Fitri disambut meriah; Tahun Baru Cina, Pesta Kaamanatan, Deepavali dan Hari Natal (Krismas) juga turut dirayakan sebagai acara rasmi Negara.

Dengan adanya perayaan rasmi sebegini, secara tidak langsung menjurus kepada mewujudkan perpaduan dan muhibbah antara kaum-kaum yang ada di negeri ini dan juga merupakan sebagai platform untuk beramah mesra antara satu sama lain.

Datin Dr Lindai Lee, isteri kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Sandakan, Datuk VK Liew berkata demikian semasa berucap di majlis pelancar ‘Lighting Up Christmas Tree 2011’ di Dataran Majlis Perbandaran Sandakan, malam semalam.

“Walaupun rakyat di negara ini mempunyai kepelbagaian budaya serta adat resam dan perbezaan anutan agama, tetapi mereka terus saling hormat menghormati kebudayaan, adat resam dan kepercayaan agama masing-masing dan tidak timbul sebarang masalah; malahan terus mengekalkan semangat setia kawan antara satu dengan lain ini, sejajar dengan konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” jelasnya.

RASMI.....Dr Lindai menekan swis lampu sebagai simbolik merasmikan majlis ‘Lighting Up Christmas Tree’.

GEMERLAP….Cahaya lampu krismas bergemerlapan di awang-awangan.

Majlis yang diadakan bermula dari jam 6.40 malam dan berakhir pada jam 12 tengah malam dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan nyanyian koir yang melibatkan lebih 20 buah gereja yang ada di daerah ini.

Turut hadir pada majlis tersebut Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Ir James Wong; Timbalan Presiden Hj Mohd Hamsan Hj Awang Supain dan dif-dif kehormat.

Majlis seumpama ini yang disambut saban tahun bagi meraikan Hari Natal telah dihadiri lebih 1,000 orang yang terdiri daripada lapisan masyarakat majmuk yang datang dari luar bandar seperti Kinabatangan, Beluran dan Telupid.

No comments:

Post a Comment