Sunday 18 December 2011

RM30 JUTA UNTUK SELESAI ISU NCR DI SARAWAK



KERAJAAN negeri Sarawak akan menerima peruntukan susulan RM30 juta daripada kerajaan Pusat tahun depan bagi melaksanakan kerja-kerja mengukur tanah Hak Adat Pribumi (NCR).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas berkata sebanyak RM20 juta diberikan pada tahun lepas dan RM30 juta untuk tahun ini bagi tujuan menyelesaikan isu-isu tanah NCR di negeri itu.

Katanya penyelesaian isu-isu tanah NCR itu adalah hasil daripada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Di Sarawak, kita masih ada isu-isu kemiskinan, infrastruktur dan pendidikan dan oleh itu Perdana Menteri telah memutuskan untuk meneliti pelbagai isu itu dengan menubuhkan jawatankuasa itu pada 2010," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ceramah makan tengah hari anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) di Kuching.

Unggah juga merupakan timbalan pengerusi Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Di bawah bahagian pertama, katanya, kerajaan Pusat juga telah siap membina sebuah Mahkamah Pribumi di Sarawak dan Sabah, masing-masing berharga RM10 juta setiap satu, bagi mengendalikan urusan perkahwinan mengikut undang-undang pribumi dan menyelesaikan pertikaian tanah NCR.

Projek lain termasuk pembinaan pusat perkhidmatan luar bandar bernilai RM5 juta di Belaga dan menaiktaraf jalan-jalan pembalakan dengan harga RM1 juta, bagi memberi khidmat kepada penduduk tempatan di Miri dan Bintulu, katanya.

Selain dana Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kedua-dua negeri itu masing-masing juga diberi peruntukan RM100 juta bagi projek pembangunan sebagai sebahagian daripada dasar-dasar inklusif kerajaan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment