Wednesday 28 December 2011

RUNGUS ‘KHADAM POLITIK’ DI MALAYSIA?



Oleh : PEJUANG MAYA RUNGUS

BILA menyebut Rungus pasti semua teringat N4 Matunggong kerana satu-satunya wakil rakyat berbangsa Rungus ada di N4 Matunggong. Tiada tempat lain yang ada di dunia ini bermakna jika seseorang mendapat kerusi N4 Matunggong, maka secara automatik beliau adalah pemimpin tertinggi di dunia Rungus.

Jadi di sinilah sinifikannya Rungus dalam konteks politik N4 Matunggong. Bila menyebut N4 Matunggong, pasti semua tahu Matunggong adalah kubu kuat PBS selama berdekad.

Pada pilihanraya tahun 85, 86, 90, 94, 99, 2004 dan 2008. Semuanya 7 penggal secara keseluruhan dan semuanya dimenangi oleh PBS. Maka secara umumnya, kesetiaan dan harapan masyarakat Rungus terhadap PBS tetap utuh dan tidak pernah berubah menempuh zaman.

Malahan, masyarakat Rungus pernah menongkah arus deras dan berombak demi setia bersama dengan PBS. Pasti semua masih ingat pada PRU 1999, Dr Mahathir pernah menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri atau sekurang-kurangnya menteri penuh kepada Datuk Markus Majihi jika memenangi kerusi N4 untuk BN yang pada ketika itu PBS masih bersama barisan pembangkang.

Seperti yang kita semua ketahui, pengundi Rungus di N4 menolak mentah-mentah tawaran istimewa tersebut. Begitu besar sekali pengorbanan orang Rungus, demi menjaga perjuangan PBS terus hidup dan mekar.

Hari ini, sesudah PRU12 pada Mac 2008 yang lalu, apakah yang orang rungus dapat hasil daripada kesetiaan terhadap PBS? Jangankan menteri penuh yang diimpikan oleh Rungus keseluruhannya? Pembantu Menteri pun wakil orang Rungus tidak dapat. Inikah hadiah dari PBS setelah berdekad setia kepada perjuangan PBS?

Senario ini boleh disifatkan sebagai amat malang bagi Rungus kerana menurut tafsiran kerajaan Malaysia, Rungus adalah pribumi di sabah seperti Penan di Sarawak dan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Ini bemakna secara teknikal, kerajaan Malaysia harus melantik seorang senator di kalangan kaum Rungus untuk menjaga kepentingan mereka. Tetapi ia tidak seperti itu kerana kerajaan UMNO dilihat enggan mengiktiraf kedudukan istimewa kaum Rungus dalam susun lapis masyrakat Malaysia.

Keadaannya serupa seperti keengganan PBS memberikan keistimewaan kepada satu-satunya wakil Rungus dalam kabinet Sabah sebagai Pembantu Menteri mahupun Menteri Penuh.

Bercakap dari konteks zaman teknologi maklumat, yang semua maklumat berada di hujung jari, saya ingin membawa perhatian semua pembaca akan hakikat sebenar akan betapa malangnya nasib Rungus dalam menentukan nasib politiknya.

Mengimbas kembali di awal penjajahan British iaitu pada 1881 Sabah atau North Borneo ketika itu dibahagikan kepada 5 negeri (dengan andaian North Borneo sebuah negara) dan salah satu negeri ialah negeri Kudat yang majoriti penduduk negeri Kudat adalah Rungus.

Maka ketika Sabah mendapat kemerdekaan, orang Rungus layak menuntut kedudukan sebagai ketua di negeri Kudat. Namun hakikatnya, tidak terjadi begitu kerana sehingga ke hari ini halatuju politik orang Rungus masih boleh diibaratkan ‘Si Buta Mencari Tongkat’.

Akhir sekali ada beberapa persoalan yang kita harus jawab dalam diri kita sebagai orang Rungus. Masih perlukah kita memberi kesetiaan kepada PBS? Apakah yang kita dapat jika kita terus memberi kesetiaan kepada PBS? Sampai bilakah kita menumpang kepada mereka yang tidak mempedulikan nasib kita? Adakah UMNO/BN/PBS akan terus membiarkan Rungus terus buta dalam mencari haluan politik? Atau adakah orang Rungus yang secara amnya dominan di beberapa DUN dan parlimen akan membuat perubahan dengan membina rumah sendiri?

Mungkinkah semua pengundi Rungus, terutama pengundi muda akan menyertai gelombang ABU (Asal Bukan UMNO/BN) yang bakal melanda pada PRU akan datang?

Sama-samalah kita nantikannya. Harapan saya ialah berilah peluang kepada orang Rungus memimpin rakyatnya sendiri dan berilah kedudukan yang selayaknya bagi kaum Rungus dalam arena politik Sabah dan Malaysia umumnya. Ini bermakna, apapun parti yang bertanding di kawasan orang Rungus, letaklah calon Rungus.

Namun persoalannya, sampai bila Rungus menjadi ‘Khadam Politik’ di Malaysia ketika Orang Asal di negeri lain mempunyai Wakil dalam Kerajaan?

No comments:

Post a Comment