Sunday 11 December 2011

SAGA SASAR TIGA MISI SIFAR



POTONG.......Zaman Khan sedang memotong riben sebagai simbolik merasmikan majlis tersebut.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

SANDAKAN Aids Support Group Association (SAGA) adalah sebuah badan NGO yang bukan sahaja telah menempa nama di daerah Sandakan, bahkan juga telah dikenali di serata Sabah sebagai sebuah NGO yang aktif dalam menjalankan usaha-usaha ke arah sokong bantu untuk mereka yang hidup dengan HIV.

Sungguhpun baru saja menjadi Ahli Gabungan Majlis AIDS Malaysia pada tahun 2010, namun pencapaian SAGA amat memberangsangkan dan SAGA telah menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi; terutama dalam mendidik masyarakat tempatan dengan maklumat yang tepat tentang HIV dan AIDS, selain mendekati komuniti terpinggir yang terdedah secara langsung kepada risiko jangkitan HIV dan AIDS.

Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Mohd Zaman Khan berkata demikian ketika berucap di Majlis World AIDS Day Charity Dinner 2011 anjuran SAGA Sandakan di Ballroom Sabah Hotel, Sandakan, malam tadi.

Katanya, pendekatan dan peranan yang diambil oleh SAGA untuk mendekati masyarakat sebegini ia merupakan suatu respon yang bertepatan terhadap situasi epidemik HIV-AIDS di negeri Sabah yang sebahagian besarnya adalah berpunca daripada transmisi seksual.

CENDERAHATI..... Dr Zaitun menyerahkan cenderahati kepada Zaman Khan.

Bersempena dengan sambutan Hari AIDS Sedunia, saya ingin menyeru para hadirin sekalian yang ada di ballroom ini untuk bersama-sama memperbaharui iltizam kita demi mencapai tiga misi sifar iaitu ‘Sifar Jangkitan Baru’, ‘Sifar Diskriminasi’ dan ‘Sifar Kematian Berkaitan dengan AIDS’.

“Sehubungan ini saya ingin menarik perhatian para hadirin terhadap aspirasi ‘Sifar transmisi vertikal HIV, dari ibu kepada anak’ yang juga menjadi fokus sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia untuk Sambutan Hari AIDS Sedunia pada tahun ini,” ujarnya.

Secara kolektifnya kata Zaman, sasaran sifar adalah matlamat unggul yang menyatupadukan masyarakat dalam usaha mengawal penularan epidemik HIV-AIDS di negara ini.

“Saya berharap agar program-program yang dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif buat Orang Yang Hidup Dengan HIV untuk menjalani kehidupan normal yang bebas daripada tekanan stigma dan diskriminasi akan dapat dilipatgandakan lagi di masa-masa akan datang,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment