Wednesday 21 December 2011

SATU LAGI PROJEK BN KECUNDANG?



TERGENDALA.....Tapak rumah 56 unit semi detached yang hanya diratakan tanpa sebarang tanda kerja akan dimulakan.

Oleh : KENINGAU PRESS

PENDUDUK di Daerah Kecil Sook, 40 kilometer dari Keningau merayu campurtangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman berkaitan dengan sebuah projek perumahan yang gagal dilaksanakan di Pekan Sook.

Pengerusi (Penaja) Persatuan Gerakan Generasi Belia Sook (GGBS), Edwin Laimin berkata, penduduk di Sook meminta penjelasan kepada Lembaga Pembangunan Perumahan & Bandar mengapa projek pembinaan 56 unit rumah (Semi Detached) sehingga kini masih gagal dilaksanakan di pekan itu, yang sepatutnya, jika mengikut jadual akan disiapkan pada Januari 2012.

“Dalam soal ini, kita merayu kepada Ketua Menteri kita kerana kelewatan pembangunan projek ini menjadi bahan cercaan dan pertikaian penduduk di atas keupayaan pihak pemaju dan juga kerajaan,” kata Edwin.

Beliau yang juga merupakan AJK Pemuda PBRS N.37 Sook berkata, Kawasan Sook sememangnya memerlukan beberapa sumber pembangunan yang boleh memangkinkan pembangunan di kawasan ini.

“Ternyata semakin banyak pelabur daripada luar yang berminat untuk membuat pelaburan di kawasaan Sook memandangkan tempat yang berpotensi untuk maju di masa-masa akan datang, seiring dengan pembangunan yang mapan terutama sekali bidang pertanian seperti kelapa sawit dan getah yang sangat luas. Kemasukan agensi kerajaan seperti SLDB berupaya memangkin ekonomi masyarakat setempat dan tentunya sebilangan masyarakat berupaya memiliki rumah berkenaan,” kata Edwin.

Bahkan kata Edwin, Daerah Kecil Sook juga merupakan sebuah kawasan yang bertuah kerana bakal dibina sebuah kampus UITM yang menjadi mercu tanda kepada pembangunan dan pertumbuhan pekan Sook dengan cepat.

“Dalam soal ini, sudah tentu Sook memerlukan lebih banyak perumahan seperti projek 56 unit rumah LPPB itu, kerana Sook bakal menerima lebih banyak pembangunan selain dari Kolej Kejururawatan dan Taman Pertanian yang bakal dibina di sini,” kata Edwin, yang merupakan Ketua Pemuda PBRS Cawangan Kg.Sinua.

Katanya, Isu 56 unit rumah (Semi Detached) yang gagal dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar serta kerajaan negeri dijadikan modal besar oleh pembangkang untuk memperkecilkan keupayaan parti politik yang mengurus tadbir kawasan ini, amnya kerajaan BN yang memerintah negeri Sabah.

Sehubungan itu kata Edwin, pihak GGBS meminta Ketua Menteri Sabah agar campur tangan untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan memberikan penjelasan kepada masyarakat Sook terhadap kegagalan pembinaan dan perlaksanaan seperti yang telah ditetapkan.

No comments:

Post a Comment