Friday 2 December 2011

SELAMATKAH MENGINAP DI SILAM DYNASTY?



Oleh : JURAIDAH MOHD KASSIM

JIKA pada 25 September 1985, hanya dua orang mati dalam serangan 15 orang lanun yang menawan Bandar Lahad Datu selama 15 minit dan tidak ada yang meninggal di Hotel Mido (kini Silam Dynasty) sekalipun lebih 20 das tembakan M16 an AK47 dihala ke Hotel berkenaan, namun senarionya mungkin berubah jika Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) lambat bertindak.

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Citra Masadi yang membidas MDLD kerana cuai dan rasuah dalam penguatkuasaan sehingga meletakkan nyawa penghuni Hotel Silam Dynasty dalam bahaya disebabkan belum mendapat sebarang kelulusan pelan, terutama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Jangan hanya kerana Pegawai Kanan MDLD menginap di hotel ini sejak awal tahun ini setelah rumahnya di hadapan hospital Lahad Datu di roboh untuk memberi laluan kepada projek melebarkan jalanraya; dan pemiliknya adalah proksi Ahli Parlimen Silam, maka mereka boleh menjalankan perniagaan? Ini bukan gerai pisang goreng,” tegur Citra yang mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat locus standi Pegawai Kanan MDLD yang bersetinggan di hotel berkenaan.

DULU....Bangunan sama tetapi setelah diubahsuai di dalam dan juga struktur, belum diluluskan, tetapi sudah berniaga menjual nyawa orang?

SEJARAH....Kesan bekas peluru di Hotel Mido sudah dihilangkan setelah Silam Dynasty Hotel siap.

Soal siapa bayar bil atau ditaja oleh hotel berkenaan sekalipun tidak timbul kata Citra, tetapi paling penting bagaimana Pegawai berkenaan boleh bersubahat sehingga memperakui hotel tersebut selamat dan bersetinggan di situ hampir setahun.

“Kita bukan halang pembangunan atau kemajuan, tetapi MDLD kena ambilkira akuntabiliti dan keselamatan orang awam terutama pelancong luar yang menginap di hotel tersebut,” kata Citra yang mendesak MDLD memberikan bukti bertulis jika mereka telah meluluskan pelan ubahsuai dan memperbaharui OC, sedangkan hotel berkenaan telah berpindah milik dan ditukarkan kepada nama baru.

Ketika ditanya kenapa beliau hanya menumpukan kritikan terhadap Hotel Silam Dynasty sedangkan banyak hotel di Lahad Datu diubahsuai secara haram tanpa kelulusan MDLD, Citra mengatakan kes Silam Dynasty terlalu menjolok mata kerana bukan sahaja pemiliknya kontroversi, malah seluruh rakyat Lahad Datu tahu Pegawai Kanan MDLD menginap di hotel berkenaan.

Kata Citra, beliau hanya mengemukakan contoh kecuaian dan budaya rasuah begitu berakar umbi di Lahad Datu, terutama pihak berkuasa tempatan yang sukar dibendung dan menjadi salah satu penyumbang utama Indeks Transparensi Malaysia merudum lagi kerana banyak laporan dibuat terhadap MDLD dan kakitangannya.

“Yang selebihnya itu tugas MDLD dan BOMBA sebelum terlambat,” kata Citra yang tidak jadi menginap di hotel tersebut kerana tidak mahu ‘mati katak’ setelah rakannya di Jabatan Bomba dan MDLD memaklumkan bahawa pelan hotel berkenaan belum diluluskan.

No comments:

Post a Comment