Friday 9 December 2011

SIAPA TANGGUNG DOSA REMAJA ROSAK AKIDAH?



Saudara Pengarang,

DI AMBANG penganut agama Kristian bersiap sedia untuk menyambut Perayaan Krismas, saya rasa kesal dan terkilan di atas sikap tidak peduli pihak berkuasa jabatan agama dan institusi tertentu yang telah gagal menunaikan tanggungjawab dan amanah; menjaga kesucian Islam serta memelihara akidah umat Islam, khususnya remaja Islam yang bekerja di supermarket dan hypermarket di seluruh Sabah.

Isu memaksa setiap pekerja, tidak kira Muslim atau non-Muslim, untuk mengenakan pakaian topi ala Santa Claus pada ketika menjelangnya perayaan Krismas adalah jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta menghina institusi Raja selaku Penaung ke atas Agama Islam.

Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3, telah meletakkan Islam sebagai agama negara dan memberi kebebasan kepada setiap penganut yang berlainan agama untuk mengamalkan budaya serta cara hidup agama masing-masing.

Tetapi dalam isu memaksa pekerja Islam mengenakan topi ala Santa Claus adalah suatu kesalahan kerana terdapat unsur-unsur pemaksaan serta tiadanya kebebasan ke atas pekerja Islam untuk mengamalkan kepercayaan agama mereka.

Dalam Islam, jika kita cenderung meniru cara berpakaian sesuatu kaum itu, maka kita tergolong sebagai sebahagian kaum tersebut. Apakah kita sanggup melihat anak remaja Islam kita tergolong sebagai sebahagian daripada kaum yang merayakan Krismas?

Mana perginya pemimpin yang mempunyai kuasa? Kenapa tidak gunakan kuasa yang merupakan amanah yang diminta pertanggung jawaban di akhirat nanti dengan mengadakan 'engagement' terhadap pihak pengurusan supermarket supaya pekerja Muslim dikecualikan daripada mengenakan topi ala Santa Claus?

Janganlah hanya sibuk dan menghabiskan masa mengadakan sekatan di masjid-masjid ke atas penceramah yang ikhlas mahu menyampaikan mesej Islam, tetapi membiarkan remaja Islam di luar sana terkapai-kapai tanpa pedoman dan panduan hidup cara Islam.

Salam Hormat,

BAPA KECEWA

No comments:

Post a Comment