Tuesday 13 December 2011

‘TAMAN WARISAN’ PERUMAHAN HARAM LPPB?




Oleh : HAMBALI LATIF

WALAUPUN membayar cukai pintu dan pelbagai kadaran yang membebankan, namun penduduk Taman Warisan, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu sama seperti Setinggan Haram yang tidak mempunyai kemudahan asas, melainkan terpaksa mencuri!

Begitulah senario yang digambarkan oleh Karim Damsali, 56, yang kesal kerana rumah yang dibeli anaknya tidak mempunyai kemudahan asas yang paling penting iaitu bekalan air 24 jam dan terpaksa ‘mencuri’ air menggunakan pam setelah membuka meter air disebabkan catuan dan tekanan rendah.

“Membeli air adalah rutin kerana semua penduduk menggunakan pam, jadi kami di bahagian bawah amat malang kerana hanya sekali sekala sahaja dapat menikmati bekalan air setelah semua penduduk mendapat bekalan air dan mematikan pam mereka,” ujar Karim yang kesal kerana sudah dua bulan tidak memperoleh bekalan air disebabkan bekalan air hanya hidup selama dua jam sahaja.

Dalam masa dua jam tersebut kata Karim, keluarganya hanya mendapat angin kerana semua air disedut pam berkuasa tinggi daripada setiap rumah dan Jabatan Air Lahad Datu gagal mengatasi masalah ini sejak lima tahun lalu.

Selain masalah bekalan air, penduduk Taman Warisan juga menghadapi masalah banjir kilat kerana sistem perparitan tidak pernah diselenggara oleh Majlis Daerah Lahad Datu.

“Asal hujan lebat tidak sampai lima minit atau semasa penduduk mengepam air, kawasan perumahan kami banjir dan lambat surut kerana semua parit kami tidak pernah dibersihkan MDLD,” ujar Karim yang terpaksa menggunakan tenaga tuanya untuk membersihkan parit rumah anaknya tetapi tidak berfaedah kerana semua parit jirannya tersumbat.

Menurut Karim, walaupun penduduk membayar cukai pembetungan najis, namun MDLD tidak pernah menyelenggara atau menaiktaraf sistem pembetungan sehingga banyak rumah jirannya tersumbat dan mereka menjadikan parit di belakang rumah sebagai ‘tandas sementara’ atau ‘tandas terbang’ (membuang najis dalam plastik dan melemparkan ke kawasan hutan.

“Keadaan jalanraya di taman ini belum pernah dibaiki atau diselenggarakan sejak anak saya membeli rumah ini pada 2003. Tidak tahulah kenapa Adun Tungku dan sebelum ini Adun Lahad Datu tidak pernah mahu mengambil tahu masalah penduduk Taman Warisan,” getus Karim yang terkilan kerana perumahan yang dibina Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) terbiar sedangkan terletak ditubir Palm Oil Industrial Cluster (POIC) yang dimegahkan Sabah di mata dunia.

Karim turut mendesak agar Polis DiRaja Malaysia membina Balai Polis di Taman Perumahan ini kerana kadar jenayah begitu tinggi disebabkan dikelilingi Pusat Pengedaran Syabu dan Penyeludupan seperti Kampung Sabah Baru, PPRT dan Dasar Baru yang kebanyakannya dihuni PATI.

Setiap hari berlaku kecurian dan pecah rumah, tetapi kata Karim, penduduk taman ini tidak membuat laporan polis disebabkan prosedur yang rumit dan tidak boleh meninggalkan rumah kosong kerana akan dipecah masuk oleh PATI atau penagih dadah yang tinggal di kawasan setinggan di sekeliling kampung berdekatan.

Karim turut menggesa agar Jabatan Bomba dan Penyelamat memastikan paip hidran sentiasa siap sedia kerana setiap kali berlaku kebakaran, pili bomba kering kontang kerana terpaksa bergantung kepada bekalan air Jabatan Air yang dicatu tidak mengikut jadual.

“Walaupun belum ada yang mati terpanggang dalam kebakaran, tetapi kita tidak boleh menanggung risiko bahawa kejadian tersebut tidak mungkin terjadi,” kata Karim yang mendesak agar LPPB jangan hanya mementingkan untung dan mengabaikan tanggung jawab sosial mereka untuk mengadakan khidmat selepas jualan.

Karim turut membidas kegagalan LPPB menyerahkan Geran Hak Milik Berasingan (Subdivided Title) bagi rumah yang dibeli anaknya seolah-olah kawasan yang mereka duduki masih setinggan dan hanya bersandarkan kepada dokumen pinjaman bank.

No comments:

Post a Comment