Monday 12 December 2011

TAN SRI LINDUNGI LIMBUNGAN HARAM DI KG PALU-PALU?


CERUCUK….Kawasan yang telah dibersihkan dan kelihatan lambakan cerucuk konkrit yang siap untuk digunakan bagi kerja-kerja mendirikan limbungan kapal di Kg. Palu-Palu yang menimbulkan kontroversi di Kuala Penyu.

OLEH: KREW SABAHKINI.NET

SEBUAH syarikat yang dimiliki seorang warga dari Semenanjung tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa tempatan untuk menghentikan kerja-kerja bagi cadangan membina limbungan kapal di kawasan pinggir laut di Kampung Palu-Palu, Kuala Penyu yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP) dikatakan sudah mengeluarkan arahan baru-baru ini kepada syarikat berkenaan bagi menghentikan kerja-kerja yang dijalankan selagi tiada kelulusan daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kerja-kerja masih diteruskan termasuk mengorek pasir di kawasan tersebut, selain telah melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan bakau yang dibimbangi penduduk kampung itu akan menjejas teruk alam sekitar.

Ekoran kedegilan pemilik syarikat itu untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak MDKP, semua Ahli Majlis Daerah itu difahamkan telah menyatakan kesediaan mereka untuk meletak jawatan sekiranya pihak atasan campur tangan untuk memberi tekanan kepada pihak MDKP untuk membolehkan syarikat itu meneruskan kerja-kerjanya.

Akibat kontroversi itu, Suruhanjaya Siasatan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan telah mengambil beberapa dokumen dari Jabatan Tanah dan Ukur daerah termasuk menyoal-siasat beberapa kakitangan yang berkenaan. Namun setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Pemilik syarikat itu yang dikatakan berkahwin dengan wanita tempatan dari Penampang dikatakan menggunakan pemimpin-pemimpin politik yang berpengaruh dalam usahanya untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa di daerah Kuala Penyu.

Sekurang-kurangnya dua pemimpin termasuk seorang yang berstatus Tan Sri cuba mempengaruhi pihak berkuasa di Kuala Penyu supaya menggunakan budi bicara membantu syarikat terbabit.

Semua Kaunselor MDKP dikatakan telah menyampaikan hasrat untuk mereka meletakkan jawatan serentak kepada Pengerusi MDKP yang juga Pegawai Daerah Kuala Penyu; sekiranya kerajaan mengizinkan pembinaan limbungan kapal tersebut yang dipercayai akan memusnahkan alam sekitar di kawasan berkenaan.

"Kami semua akan melepas jawatan jika syarikat tersebut terus tidak menghiraukan arahan dan menggunakan pemimpin-pemimpin tertinggi tertentu untuk memberi tekanan kerana ini jelas perbuatan yang menyalah-gunakan kuasa dan akan menghapuskan keyakinan rakyat," tegas seorang kaunselor kanan majlis ketika diminta pandangannya.

No comments:

Post a Comment