Tuesday 13 December 2011

TIDAK SALAH BANTUAN ASING JATUHKAN KERAJAAN ZALIM



Oleh : AZMAN ARIFFIN

BUKAN satu rahsia lagi bahawa mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir sejak 12 tahun lepas telah berulang kali cuba menggambarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang ejen asing yang dihantar untuk menghuru-harakan negara ini dan dalam masa yang sama menjadikannya boneka barat, terutama Amerika Syarikat.

Pernah satu ketika Mahathir mendakwa Anwar sebagai ejen CIA tapi tidak pernah membuktikan dakwaannya tersebut. Semuanya bagi menguatkan alasan pemecatan Timbalannya tersebut pada 1998 atas pelbagai dakwaan yang majoriti daripadanya sudah dibuktikan tidak benar di mahkamah.

Justeru itu, tidak hairan kenapa apabila agensi berita antarabangsa, AFP pada 11 Disember menyiarkan berita kononnya Datuk Seri Anwar menerima bantuan asing daripada badan bukan kerajaan (NGO) berpengkalan di Amerika Syarikat yang bernaung di bawah NED (National Endowment for Democracy), Mahathir melihat ia sebagai satu lagi peluang untuk mengetengahkan semula teorinya yang sudah lapuk itu.

Penulis tidak mempunyai kapasiti untuk mengatakan laporan AFP itu salah sepenuhnya kerana laporan tersebut lebih membincangkan mengenai kemungkinan campur tangan kerajaan Amerika Syarikat (melalui bantuan NGO tertentu) dalam konflik yang sedang berlangsung di beberapa negara Arab dan Rusia.

Hanya satu perenggan sahaja yang menyebut nama Anwar dan Malaysia secara langsung. Tapi penulis lebih berminat untuk menarik perhatian pembaca dari segi mana dan sudut mana menerima bantuan asing itu boleh dikategorikan sebagai salah?

Apa yang berlaku di Libya ialah satu contoh paling klasik untuk permulaan perbincangan ini. Jika tidak kerana bantuan dana dan ketenteraan daripada pihak NATO, Muammar Gadaffi masih lagi menguasai negara tersebut melalui pemerintahan kuku besinya yang berjalan selama 40 tahun!

Adakah itu menjadikan pihak yang menerima bantuan tersebut sebagai jahat? Di mana jahatnya kalau bantuan itu diguna untuk melepaskan rakyat Libya dari cengkaman pemerintahan diktator Muammar Gadafi?

Perkara sama yang boleh diaplikasikan di sini. BN dan UMNO mempunyai segala akses kepada kewangan negara yang hampir tidak terbatas sedangkan Anwar dan Pakatan Rakyat yang dipimpinnya mempunyai sumber kewangan yang terhad. Tambahan lagi bukan resmi kita untuk menyalahgunakan dana awam bagi tujuan politik, itu adalah resmi BN.

Jadi kalau benar ada pihak yang bermurah hati untuk menaja Anwar dan Pakatan Rakyat merealisasikan hasrat itu, kenapa tidak? Kerjasama antarabangsa adalah suatu yang lumrah, tanpa atau dengan melibatkan wang. Di pihak kerajaan sendiri ada menerima bantuan-bantuan untuk projek-projek tertentu, ini bukan suatu perkara rahsia.

Sebagai contoh dana dari UNESCO berhubung pengiktirafan badan tersebut ke atas beberapa tempat di negara ini yang dikategorikan sebagai kawasan Warisan Dunia. Tujuan dana ialah memelihara keaslian kawasan tersebut dari segi sejarahnya.

Jika benar pun Anwar menerima dana sebanyak USD100 juta daripada NED melalui Institut Kajian Dasar (IKD) seperti yang didakwa Mahathir, itu adalah untuk tujuan yang baik; menyelamatkan negara ini dari penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaan BN.

Mahathir cuba menakut-nakutkan rakyat negara ini dengan menimbulkan kemungkinan bahawa sebagai balasan, Anwar akan menggadaikan negara ini kepada pihak yang memberikan bantuan. Pada penulis ini hanya cubaan Mahathir untuk menakutkan rakyat ini dengan mencipta gambaran yang sama sekali meleset dari hal yang sebenar.

Tiada siapa yang mahu menggadaikan negara ini dengan bantuan sekecil USD100 juta (sekitar RM 360 juta). Mahathir terlebih banyak menonton filem-filem konspirasi dari barat sehingga tidak boleh membezakan antara yang fantasi dan realiti.

Pada penulis, bagaimana Mahathir mahu melihatnya, itu bukan masalah kita semua. Mahathir boleh bercakap apa sahaja yang dia mahukan tapi tetap diakhirnya nanti rakyat yang akan membuat penentuan untuk menjatuhkan kerajaan BN dan membawa Malaysia ke arah demokrasi yang lebih baik; sama ada dengan bantuan asing atau tidak.

No comments:

Post a Comment