Tuesday 13 December 2011

TIGA ‘WINNABLE CANDIDATE’ BAKAL WARNAI PRU13



Oleh: THAMPARREQ KITOES

KEHANGATAN pemimpin politik meraih sokongan rakyat semakin ketara ketika menjelangnya PRU13 sehingga ada yang sudah terlalu gusar dan bimbang tidak akan dicalonkan, terutamanya pemimpin BN; setelah mereka sedar bahawa Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN tidak akan mencalonkan ‘Unwinnable Candidate’ pada PRU13 berdasarkan banyak perkara.

Bahkan semasa Perhimpunan Agung Tahunan UMNO baru-baru ini, Najib telah membayangkan kepada para perwakilan bahawa kaedah mendapatkan maklumat prestasi kerja wakil rakyat di setiap kawasan di seluruh negara, tidak lagi bersandarkan sepenuhnya kepada laporan MIO, Cawangan Khas PDRM, JASA; sebaliknya Najib lebih suka menghantar perisik beliau ke akar umbi untuk mendapatkan laporan yang sahih.

Titik tolak daripada itu, kegusaran pemimpin pemimpin UMNO sudah mula terasa terutamanya pemimpin yang terlalu lama berkhidmat termasuk memiliki prestasi hambar semasa menyandang jawatan ‘YB’ terutamanya mereka yang mempunyai rekod buruk kerana terlibat dengan gejala ‘RASUAH’; besar kemungkinan ianya tidak akan mendapat tempat dalam senarai pendek PM pada PRU13; walaupun ia mempunyai sokongan kuat daripada ‘Ketuanya’ di peringkat negeri.

Justeru, tidak hairanlah jikalau golongan ini yang bergelar ‘UNWINNABLE CANDIDATE’ menggunakan strategi lain; terutamanya mendapatkan khidmat para bloggers untuk mengkritik dan memburuk burukkan reputasi pemimpin lain yang berpotensi serta mereka yang bergelar ‘WINNABLE CANDIDATE’ kerana mereka khuatir golongan ini pasti akan diangkat sebagai calon pada PRU13 kelak. Mereka terpaksa berbuat sesuatu demi ‘survival’ politik mereka, walaupun terpaksa berdepan dengan ‘DOSA’ di akhirat nanti.

Contohnya, di kawasan Parlimen Tenom ramai yang meramalkan tiga tokoh pemimpin muda tidak kira di pihak pembangkang mahupun BN yang bakal mewarnai PRU13 kali ini yang disebut-sebut sebagai mendapat sambutan hangat daripada pengundi kawasan terbabit seperti Jamawi Jaafar yang memiliki Ijajah Sains Pertanian UPM.

Beliau mula berjinak-jinak dalam politik sejak tahun 2004 tetapi sebelum itu Jamawi sudah menampakkan keberdikariannya dengan mengukuhkan keusahawanannya sejak tahun 2001. Lantaran itu, rakyat telah mula yakin dan percaya bahawa Jamawi pada suatu hari nanti akan dapat menggalas tanggung jawabnya untuk melonjak nama masyarakat Tenom terutamanya masyarakat suku kaum Murut ke dalam bidang keusahawanan untuk terus melakar ‘survival’ penghidupan mereka.

Selain itu Roger Stimin seorang Peguam yang juga merupakan pendatang baru dalam arena politik, meskipun Roger memilih pembangkang sebagai landasan perjuangan politiknya, namun ramai yang menggeruni kemunculannya kerana Roger disifatkan oleh kalangan Murut sebagai pemimpin muda yang mesra rakyat, berwawasan dan berketrampilan selain belum tercalar namanya dalam politik.

Kelibat Roger lebih teruji dan menjadi tunggak keyakinan rakyat Tenom kerana sebelum beliau menjadi seorang Peguam, Roger yang sebelum itu memiliki Diploma dalam bidang Perniagaan pernah berkhidmat didalam Institusi Perbankan dan pernah berkhidmat di beberapa bank. Seterusnya kepakaran yang beliau miliki mendorongnya lebih cenderung kepada dunia perniagaan di samping kerjayanya sebagai seorang Peguam.

Manakala William @ Ensor Datuk Tingkalor seorang usahawan muda yang mewarisi ketokohan bapanya mendiang Datuk Tingkalor Lampag, bekas Pembantu Menteri di zaman kerajaan USNO pimpinan Tun Mustapha sekitar tahun 1960-an.

Berdasarkan statistik nasional setakat ini seramai 14.4 juta pengundi; 42 peratus daripada jumlah itu adalah pengundi golongan generasi muda, maka sudah pasti akan memilih calon-calon dari golongan muda yang berwibawa dan berketrampilan sebagai bakal pemimpin politik tersohor; kerana mereka merasakan bahawa zaman pemimpin yang wujud sebelum abad ke-21 sudah tidak relevan lagi malah golongan itu disifatkan sebagai pemimpin ‘Jumud’ dan ketinggalan zaman.

Jika kebangkitan ketiga-tiga pemimpin muda ini dalam politik menjadi kenyataan semasa PRU13, tidak siapa yang boleh mengatakan ia suatu yang ‘Ajaib Bin Hairan’ kerana ketiga-tiga tokoh muda ini adalah pemimpin dari kesukuan Murut yang tulen, walaupun berlainan etnik namun ia harus dibanggakan kerana pengalaman dan pendidikan mereka sudah sejajar dengan tahap wakil rakyat yang pernah menduduki Dewan Rakyat sebelum ini.

No comments:

Post a Comment