Thursday 15 December 2011

WAJIB BANTU PRODUKSI FILEM SABAH



MANTAN Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Seri Salleh Tun Said berharap kerajaan pusat dapat membantu syarikat perfileman milik pengusaha Sabah bagi membolehkan mereka bersaing dengan syarikat perfileman yang sudah kukuh di Semenanjung.

"Penting bagi kerajaan pusat melalui agensi seperti Finas menyediakan satu kuota peruntukan khusus untuk syarikat-syarikat perfileman yang dimiliki oleh rakyat di Sabah.

"Saya yakin dengan adanya bantuan sedemikian, industri perfileman Sabah mampu berkembang maju dan mempopularkan Sabah, sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat Sabah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan North Borneo Media Sdn Bhd di Kota Kinabalu, kelmarin.

Salleh juga berkata sokongan daripada pelbagai pihak seperti pengusaha panggung dan media masa juga penting bagi membolehkan filem hasil masyarakat Sabah dipromosi dan dipasarkan.

Naib Canselor UMS, Datuk Kamaruzaman Ampon berkata MoU itu akan membolehkan pelajar UMS dari Sekolah Pengajian Seni mempraktikkan teori yang dipelajari dalam produksi perfileman.

Beliau juga berharap produk filem dan animasi yang dihasilkan menerusi usaha sama UMS dengan North Borneo Media dapat dikomersialkan ke peringkat antarabangsa. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment