Monday 2 January 2012

10,000 BUAT GEMPAR DI AMBANG 2012, SANDAKAN



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

SELARAS dengan konsep 1Malaysia seperti yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, kita disaran supaya memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan menjadikan beberapa nilai-nilai penting sebagai amalan setiap rakyat di negara ini.

Ini adalah satu dasar penting Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi membawa negara ke arah kestabilan, kemajuan dan kepesatan arus perdana pembangunan agar dapat dinikmati oleh semua kaum yang ada di negara ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Kiong berkata demikian ketika melancarkan ‘Konsert Gempak Di Ambang Tahun Baru 201 di Padang Bandaran, Sandakan malam tadi.

V.K.Liew menambah negara kita hanya mempunyai 8 tahun lagi ke arah mencapai Wawasan 2020 yang merupakan hasrat utama Kerajaan Malaysia bagi mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Dalam hal ini, saya menyeru kepada semua warga Sandakan untuk terus berusaha secara gigih bagi tahun 2012 ini agar kita semua dapat mengecapi kemajuan dan masa hadapan yang cerah terutamanya bagi anak-anak kita. Sesungguhnya anak-anak kita merupakan aset utama kepada Negara,” ujarnya V.K.Liew lagi.

Bagi mencapai kemajuan seperti yang dimaksudkan itu jelas V.K Liew; “Kita perlulah menyuntik semangat kerjasama secara erat dan saling memerlukan antara satu sama lain dan saya memerlukan omongan anda kalian agar kita dapat mencapai kemajuan, seperti yang dingini dan pada masa yang sama bagi mengekalkan cara hidup iaitu menjurus kepada kebudayaan istimewa kita di sini.”

Katanya, kerjasama adalah amat penting bagi menjulang daerah Sandakan ke satu tahap yang amat disegani, di mana kita dapat menyaksikan lebih banyak lagi peluang pekerjaan, pembangunan pendidikan dan lain-lain lagi bagi kesenangan hidup kita dan anak-anak kita di masa hadapan.

“Saya amat terharu berada di sini untuk bersama-sama anda semua bagi meraikan Tahun Baru 2012 ini dan sesungguhnya majlis ini memberikan satu makna yang amat besar bagi menunjukkan penghargaan yang tidak terhingga kepada masyarakat Sandakan dan Sabah amnya,” ujarnya.

Konsert Gempak Di Ambang Tahun Baru 2012 anjuran bersama Pejabat Parlimen Sandakan, Majlis Perbandaran Sandakan, Lembaga Kebudayaan Sandakan dan Sandakan FM yang diadakan di Padang Bandaran telah dibanjiri lautan manusia yang dianggarkan lebih 10,000 ribu menyaksikan pelbagai persembahan nyanyian yang menampilkan artis-artis Sandakan FM, tarian Singa dan tarian-tarian kebudayaan daripada pelbagai suku kaum.

Terdahulu, dalam temuramah Sabahkini.Net dengan Pengerusi Bersama, Mas Ngadian Hj Sarjunoh menjelaskan, konsert sebegini merupakan kali yang ketiga dianjurkan oleh pejabat Perhubungan Parlimen Sandakan.

Katanya, konsert ini bertujuan untuk merapatkan siratulrahim di kalangan masyarakat majmuk untuk menjalinkan hubungan mesra sejajar dengan konsep 1 Malaysia.

No comments:

Post a Comment