Monday 2 January 2012

GAMIS KECAM POLIS LERAI SECARA KEGANASAN



Oleh : MOHD FIRDAUS MUHAMMAD NOOR

GABUNGAN Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Sabah, mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan pihak polis yang mengasari mahasiswa dalam satu perhimpunan kebebasan akademik di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kelmarin.

Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS Sabah, Khairuddin Ali, berkata mahasiswa tidak sepatutnya diberi layanan sedemikian, sebaliknya hanya menuntut kebebasan akademik dan berhimpun.

"Kita dapat tahu rakan-rakan aktivis berhimpun di UPSI semalam dikasari pihak polis. Safwan pun cedera. Pada saya, mahasiswa tidak sewajarnya diberi layanan sedemikian rupa.

“Kami hanya menuntut hak kami sebagai mahasiswa dan warga negara dengan aksi-aksi mahasiswa berpaksikan hak dalam perlembagaan. Tindakan pihak polis mengasari mahasiswa adalah tindakan yang tidak boleh diterima,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi GAMIS Sabah, Asmi Basir menggesa seluruh mahasiswa bersatu tanpa mengira ideologi menyokong penuh mahasiswa yang tertindas.

"GAMIS Sabah menyeru kepada seluruh mahasiswa khususnya di Sabah, marilah kita bersolidariti tanpa mengira ideologi untuk terus menyokong aktivis-aktivis mahasiswa yang ditindas," katanya.

Pihak polis semalam telah menahan kira-kira 20 aktivis mahasiswa dan seorang mengalami kecederaan. Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik, Safwan Anang dikejarkan ke hospital berdekatan.

No comments:

Post a Comment