Sunday 15 January 2012

GELOMBANG MERAH TAWAN SEMULA KELANTAN



GELOMBANG Merah, kempen yang dilancarkan tahun lepas untuk Barisan Nasional (BN) merampas kembali Kelantan daripada PAS, kini semakin menjadi gelombang besar yang memikat rakyat agar menyokong BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Gelombang Merah juga berjaya melahirkan semangat bersatu di kalangan anggota dan pemimpin Umno dalam melaksanakan program yang lebih terancang bagi merealisasikan perjuangan menawan Kelantan.

"Dengan adanya Gelombang Merah ini, kita dapat menggerakkan jentera dengan lebih lancar lagi kerana pilihan raya umum semakin hampir, kita dapati program di seluruh negeri begitu banyak sama ada di peringkat pusat daerah mengundi, dewan undangan negeri dan parlimen," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat khas kepada Pemuda Umno Kelantan di sini, hari ini.

Gelombang Merah bertemakan 'Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat' yang dilancarkan Februari tahun lepas, dilaksanakan Pergerakan Pemuda Umno negeri Kelantan melalui penganjuran ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata Umno Kelantan sedang merancang untuk mengadakan perhimpunan raksasa yang melibatkan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan depan.

"Himpunan raksasa yang menunjukkan kekuatan Umno Kelantan supaya rakyat yakin bahawa telah berlaku transformasi dalam Umno di negeri ini," katanya.

Beliau juga meminta Pemuda Umno Kelantan bekerja lebih gigih untuk menarik sokongan golongan muda untuk mengundi BN pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kira-kira 40 peratus jumlah pengundi adalah daripada mereka yang berusia 40 tahun ke bawah.

No comments:

Post a Comment