Wednesday 25 January 2012

JALAN BAKIAU, PENDUDUK ENGGAN BERI IZIN LALU

PERIKSA..... Rosdi (tengah), Khairul dan Jacob ketika membuat pemantauan jalan berkenaan baru-baru ini.

Oleh : KENINGAU PRESS

PENDUDUK di Kampung Bakiau dalam DUN Liawan tidak sepakat menerima pembangunan kerajaan menyebabkan projek naik taraf jalan ke kampung itu pada tahun 2006 itu tidak dapat diteruskan dan telah dipindahkan ke tempat lain.

Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Liawan, Rosdi Padiman berkata, segelintir pemilik tanah persendirian sepanjang 1km projek naik taraf jalan itu enggan memberi izin lalu dan kerjasama sehingga menjejaskan pelaksanaan projek tersebut yang sepatutnya dilaksanakan sejak tahun 2006.

Rosdi mengulas dakwaan penduduk kampung Bakiau melalui media yang menuduh kerajaan tidak prihatin kepada pembangunan di kampung itu terutamanya kerumitan yang dihadapi mereka disebabkan jalan raya yang rosak dan teruk menuju masuk ke perkampungan.

“Inilah sebenarnya masalah yang berlaku, bukannya kita mengabaikan keutamaan penduduk yang memerlukan jalan tersebut,” kata Rosdi yang membuat tinjauan ke kampung tersebut bersama Pegawai Tugas Khas ADUN Liawan, Khairul Ryan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bakiau, James Leong.

Katanya, penduduk di kampung itu terutamanya pemilik tanah persendirian perlu memberi kerjasama dan sepakat untuk memberi izin lalu kepada projek naik taraf itu.

“Jika ada kata sepakat dan kerjasama, jalan raya itu kita boleh selesaikan,” ujar Rosdi.

Sementara itu, James berkata, beliau akan mendapatkan persetujuan dengan pemilik tanah persendirian yang terlibat.

Ini kerana kata James, beliau telah mengemukakan semula permohonan naik taraf jalan itu yang kini berada di pejabat Kementerian Kewangan untuk menunggu kelulusan peruntukan.

“Saya sekali lagi telah membuat permohonan dan hanya tinggal menunggu kelulusan dari Kementerian Kewangan,” ujar James yang turut ditemani Timbalannya, Jacob Gabou.

No comments:

Post a Comment