Saturday 21 January 2012

JANGAN PESONGKAN FIKIRAN RAKYAT



TERIMA KASIH……Amin memegang keratan akbar kenyataan terbuka Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menegaskan cadangan pembinaan projek empangan di Kg. Tambatuon tidak akan dilaksanakan selagi penududuk tidak bersetuju.

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

PENDUDUK di Kg. Tambatuon berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana mendengar suara dan keluhan penduduk di kampung itu berhubung dengan bantahan cadangan pembinaan projek empangan di kampung tersebut.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan dalam kenyataan akbar menegaskan, bahawa cadangan pembinaan projek empangan di Kg. Tambatuon itu tidak akan dilaksanakan selagi penduduk di kampung tersebut tidak bersetuju.

Wakil Penduduk Kg. Tambatuon, Ketua Kampung, Amin Goling (gambar) berkata kenyataan terbuka Abdul Rahman itu melegakan penduduk di kampung berkenaan.

Menurutnya, penduduk Kg. Tambatuon mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan kepada Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan kerana sentiasa prihatin dan mendengar luahan suara hati rakyat.

Jelas Amin yang juga Naib Ketua II Bahagian PBS Kadamaian, sebarang bantahan dari penduduk kampung akan sentiasa didengar oleh pihak kerajaan dan penduduk kampung hendaklah menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

“Saya menyeru kepada penduduk di Kg. Tambatuon agar terus menyokong kerajaan yang ada sekarang ini kerana jelas terbukti setiap suara rasa tidak puas hati rakyat akan sentiasa diambil perhatian oleh kerajaan yang ada sekarang dengan seadil-adilnya.”

“Apa juga rasa tidak puas hati rakyat perlu disampaikan menerusi saluran yang betul, saya yakin apa yang disuarakan oleh penduduk di Kg. Tambatuon selama ini telah didengari bukan sahaja oleh pemimpin di daerah ini malah oleh pihak kerajaan,” tambah Amin yang juga Ketua cawangan PBS Kg. Tambatuon.

Dalam perkembangan berkaitan dalam kenyataan sebelum ini, Abdul Rahman memohon kerjasama orang-orang kampung terutamanya pemimpin-pemimpin Jawatankuasa Bertindak yang membantah rancangan pembinaan projek empangan tersebut untuk membuka minda dan berbincang dengan pihak kerajaan.

“ Jika pihak kerajaan ingin berbincang dengan penduduk kampung mengenai isu itu maka perlulah mereka berbincang dengan sebaik mungkin, tetapi kita pastikan bahawa empangan itu tidak akan dibina selagi mereka tidak memberi persetujuan.”

Abdul Rahman juga menjelaskan, antara lain kenapa empangan itu dicadangkan adalah kerana desakan daripada pihak pembangkang di dalam parlimen pada tahun 2008 bila Malaysia berdepan dengan krisis makanan terutamanya beras yang begitu teruk sekali harga meningkat tiga kali ganda.

Menurut Abdul Rahman lagi, pihak pembangkang pada ketika itu, telah membuat usul di dalam Parlimen pada tahun 2008 dan dalam usul itu telah diterima dan telah dibahaskan pihak pembangkang dengan sekeras-kerasnya mengkritik kerajaan kerana tidak mengadakan perancangan yang sistematik bagi menangani isu bekalan beras di negara ini iaitu tidak mencapai ke tahap sara hidup yang diharapkan.

Katanya, pihak pembangkang yang meminta pihak kerajaan membuka jelapang padi baru, menambah peningkatan padi dan sebab itu kerajaan dengan usul yang telah dibahaskan oleh pihak pembangkang di Parlimen maka kerajaan telah membuat keputusan untuk menambah kawasan jelapang padi termasuklah di daerah Kota Belud.

“Di mana juga jelapang padi akan dibina perlu ada empangan sebagai contoh di Kada ada empangan, di Mada ada empangan maka di daerah ini juga memerlukan empangan.”

“Jika cadangan pembinaan empangan ini ditolak bermakna pihak pembangkang hipokrit , pada masa yang sama mengkeritik pihak kerajaan tetapi pada masa yang sama juga mengkeritik kerajaan apabila kita membuat sesuatu.” tambah Abdul Rahman lagi.

No comments:

Post a Comment