Sunday 1 January 2012

JELASKAN KEJAYAAN BN KEPADA RAKYAT



SEMUA jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kejayaan BN selama ini dalam mentadbir negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi BN Sabah berkata kejayaan dalam memberi pemahaman mengenai usaha kerajaan mampu meyakinkan rakyat untuk menolak pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita menjelaskan kepada semua pengundi mengenai program dan dasar BN kerana inilah kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.

"Kita lihat sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, banyak usaha dan pembangunan dilaksanakan untuk rakyat seperti penghapusan yuran sekolah, pemberian RM100 kepada pelajar sekolah dan pemberian RM500 kepada keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan," katanya pada Majlis Silaturrahim dan Makan Malam Wanita Penjalin Perpaduan anjuran Wanita Umno Sabah, di sini malam kelmarin.

Musa berkata BN bukan gabungan parti yang suka berbohong dan menabur janji kosong kepada rakyat seperti yang sering dilakukan oleh pembangkang sehingga rakyat yang menderita.

Katanya, rakyat harus jelas dengan usaha dan keikhlasan BN membela nasib mereka supaya mereka tidak mudah terperdaya dengan khabar angin dan janji pembangkang yang telah hilang hala tuju.

Beliau berkata selain menjelaskan kepada rakyat mengenai kejayaan BN, jentera pilihan raya BN juga perlu bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan semua calon BN pada PRU-13 akan datang. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment