Monday 16 January 2012

KENAPA UMNO 'MATIKAN' JUHAR MAHIRUDDIN?



Oleh : MUTALIB M.D

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) membidas Adun UMNO dari Sukau, Saddi Abdul Rahman kerana mengabadikan nama orang hidup sebagai nama geografi dan bercanggah dengan Prinsip 10 yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi.

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Citra Masadi yang menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi menyatakan rasa kesalnya berhubung laporan media kelmarin yang memaklumkan bahawa TYT Sabah, Tun Juhar Mahiruddin akan merasmikan Masjid Baru Pekan Sukau yang dinamakan sempena nama Tun Juhar, pada selasa ini.

"Jika Masjid Baru Sukau yang menelan belanja RM5 juta ini menggunakan wang kocek Tun Juhar sendiri, (seperti Yayasan Al-Bukhary) mungkin boleh kita terima tetapi ini menggunakan keseluruhan wang rakyat; tetapi memberikan nama Masjid sempena nama Tun Juhar," ujar Citra yang kesal dengan tindakan UMNO yang mempersendakan agama demi kepentingan politik.

Citra menegaskan Jemaah Menteri berasaskan Kertas Kabinet No. 551/2337/2002 bertajuk Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi telah meluluskan serta mengesahkan keanggotaan dan terma-terma rujukan 'Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi' pada 11 September 2002.

Sehubungan itu, kata Citra, Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi telah menetapkan dalam Prinsip 10: Penggunaan Nama Orang bagi nama geografi, bahawa;

"Nama orang tidak digalakkan digunakan dalam sesuatu entiti geografi melainkan penggunaan sedemikian ada kepentingan kepada orang awam. Orang yang namanya akan diabadikan hendaklah terdiri daripada orang yang telah memberikan sumbangan yang bermakna kepada negara atau kepada kawasan berkenaan; lazimnya penamaan dibuat selepas orang berkenaan meninggal dunia kecuali dalam keadaan yang luar biasa. Pemilikan harta tanah tidak sepatutnya menjadi asas untuk permohonan memberikan nama pemilik kepada entiti geografi. Walau bagaimanapun, jika nama yang sudah lazim digunakan di tempat berkenaan berasal daripada nama orang, sama ada hidup atau sudah meninggal dunia, maka Prinsip 9 hendaklah diutamakan. Nama gelaran kehormat (Tan Sri, Dato’ Seri, Dato’, dsb.) tidak perlu diletakkan kecuali gelaran Tun."

Tegas Citra, memandangkan RM2 juta peruntukan Masjid berkenaan disumbangkan Kerajaan Negeri Sabah dan bakinya RM3 juta daripada Kerajaan Persekutuan, maka adalah keterlaluan mengabadikan nama Tun Juhar sebagai nama geografi Masjid Baru Sukau.

"Apa jasa besar Tun Juhar sehingga Saddi menamakan masjid itu sempena nama Juhar sedangkan sumbangannya tidak seberapa, apatah lagi Kinabatangan mundur semasa Juhar menjadi Ahli Parlimen (21 Oktober 1990-29 November 1999) dan Speaker DUN dan Dewan Rakyat sehingga ada surau berdindingkan angin di Tambisan?," tanya Citra yang kesal kerana pemimpin UMNO sanggup menjual agama demi survival politik mereka.

No comments:

Post a Comment