Saturday, January 28, 2012

LOJI BARU LAHAD DATU ATASI KRISIS TENAGA

PEMIMPIN Cina terkenal di Tawau menyambut baik cadangan loji janakuasa Lahad Datu dan yakin loji itu boleh menjadi 'penawar' kepada masalah bekalan elektrik yang dihadapi oleh lebih 400,000 orang di Tawau.

Tan Sri Liew Yun Fah menyatakan keyakinan bahawa loji janakuasa baru itu akan mengubah nasib mereka di kawasan sekitar.

"Kami tentunya menghargai komitmen oleh kerajaan, terutamanya Petronas untuk menangani masalah kuasa di pantai timur Sabah, termasuk di Tawau.

"Kami telah mengalami gangguan kuasa yang kerap sejak sekian lama dan saya percaya loji janakuasa Lahad Datu boleh menjadi penyelesaian jangka panjang kepada gangguan elektrik yang berterusan," kata beliau kepada Bernama di sini.

Tahun lepas, Petronas mengumumkan bahawa syarikat minyak nasional itu akan menubuhkan terminal pengegasan semula gas asli cecair (LNG) dan membantu merealisasikan loji janakuasa baru berkuasa 300MW di Lahad Datu.

Loji janakuasa dan terminal minyak dan gas Sabah dijangka menelan belanja RM2.2 bilion dan dijadualkan siap pada 2015.

Ia merupakan sebahagian daripada pelaburan yang besar dan komitmen kepada gabungan perbelanjaan modal sebanyak RM45 bilion untuk melaksanakan pelan induk bersepadu minyak dan gas untuk Sabah, yang melibatkan pembangunan beberapa projek huluan dan hiliran dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Projek-projek lain termasuk Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) bernilai RM3.8 bilion, projek loji janakuasa berkuasa gas 300 MW bernilai RM1.5 bilion di Kimanis dan kilang baja mega bernilai RM4.6 bilion di Sipitang.

Liew, bekas Menteri Belia dan Sukan negeri, berkata ini menunjukkan seriusnya kerajaan persekutuan dalam menangani masalah tenaga di Sabah.

Beliau berkata ia juga selaras dengan konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengutamakan kepentingan rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama mereka.

Idea untuk mewujudkan terminal minyak dan gas serta loji janakuasa di Lahad Datu datang selepas kerajaan memutuskan untuk membatalkan loji janakuasa berkuasa arang batu Lahad Datu yang mencetuskan kontroversi pada awal tahun lepas berikutan bantahan oleh penduduk tempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman telah dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan Persekutuan dan negeri telah bersetuju untuk meneruskan sumber tenaga alternatif seperti gas untuk memenuhi keperluan bekalan kuasa di Sabah.

"Perdana Menteri memahami bahawa di samping kita perlu membina bekalan kuasa di Sabah, ia tidak boleh dilakukan tanpa mengambil kira kebajikan rakyat dan alam sekitar," demikian kata Musa sebagaimana dilaporkan sebelum ini dan menambah Najib tahu bahawa aset terbesar negeri itu ialah tarikan semula jadi dan "persekitaran yang asli".(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment