Saturday 14 January 2012

MANGSA PEMERDAGANGAN ORANG BOLEH BEKERJA



MANGSA pemerdagangan orang dalam kes eksploitasi buruh yang berada di rumah perlindungan di Malaysia, kini dibenar bekerja selepas dibebaskan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata bagaimanapun, beberapa syarat tertentu akan dikenakan seperti mangsa perlu memperoleh kebenaran daripada kedutaan masing-masing, pengesahan bahawa keselamatan mereka tidak terjamin jika kembali ke negara asal, dan mereka memasuki negara ini secara sah.

"Keputusan dasar utama ini dengan jelas mencerminkan komitmen Malaysia dan progres berterusan ke arah perlindungan mangsa yang lebih baik di negara ini," katanya dalam satu kenyataan sempena Bengkel Proses Bali Mengenai Perlindungan Terhadap Mangsa Pemerdagangan Orang yang berakhir di sini.

Berdasarkan prosedur semasa, sebaik dibebaskan dari rumah perlindungan, mangsa akan dikembalikan ke negara asalnya.

Hishammuddin berkata Malaysia akan mengkaji kemungkinan mangsa dalam kes pemerdagangan orang dibenar bekerja ketika ditempatkan di bawah Perintah Perlindungan.

Ketika ini, mereka melakukan kerja sementara di rumah perlindungan.

Hishammuddin berkata Malaysia memberi penekanan yang kuat terhadap perlindungan serta pemulihan mangsa kerana ia merupakan elemen penting dalam usaha global bagi membanteras pemerdagangan orang selain menjamin peratusan tinggi pendakwaan kes bagi kesalahan itu.

Mengenai bengkel yang dianjurkan, Hishammuddin berkata ia menggambarkan kebimbangan serius Malaysia berhubung aspek perlindungan mangsa khususnya dalam mencontohi amalan terbaik antarabangsa berkaitan perkara itu.

Malaysia menjadi hos bengkel dua hari anjuran bersama Kementerian Dalam Negeri dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).

Bengkel yang dihadiri 100 peserta dari 32 negara anggota Poses Bali itu memfokus kepada aspek mangsa pemerdagangan orang terutama dalam elemen perlindungan, penjagaan dan pemulihan.

Proses Bali merupakan satu kumpulan serantau yang ditubuhkan pada 2002 bagi menangani isu pergerakan orang yang tidak teratur serta bidang berkaitan jenayah transnasional, termasuk pemerdagangan orang.

Australia dan Indonesia merupakan pengerusi bersama Proses Bali yang dianggotai 44 negara termasuk pertubuhan antarabangsa seperti IOM dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR). (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment