Sunday 15 January 2012

MASA DEPAN NEGARA TERLETAK DI TANGAN BN



TAN SRI MUHYIDDIN Yassin berkata masa depan Malaysia terletak kepada kepimpinan parti Barisan Nasional (BN) yang terbukti telah melaksanakan pentadbiran yang berkesan kepada negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat perlu menyokong kerajaan dan dasar-dasarnya supaya apa yang telah dicapai tidak terganggu dan masa depan akan lebih jelas.

Berucap ketika merasmikan Dewan Seri Melati sempena majlis ramah mesra bersama rakyat kawasan parlimen Padang Besar di Beseri dekat sini, katanya rakyat jangan terpengaruh dengan tohmahan pembangkang yang sentiasa berhadapan dengan masalah dalaman disebabkan perbezaan dasar bagi parti-parti yang bergabung dalam pakatan pembangkang itu.

Dewan setingkat bernilai RM3.2 juta itu berkeupayaan menampung lebih 600 orang dan akan menjadi dewan utama bagi kawasan parlimen Padang Besar.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berharap rakyat menilai masa depan mereka dengan bijaksana walaupun sering diganggu dengan tohmahan parti pembangkang terhadap pelbagai usaha murni kerajaan.

Katanya, PAS juga telah meninggalkan dasar untuk mewujudkan negara Islam jika memerintah negara setelah sekutunya menganjurkan pelaksanaan negara berkebajikan.

"Mereka tiada kata muafakat sesama sendiri, tiada wawasan dan pendekatan bersama," kata Muhyiddin.

Menurutnya ketika menjelang pilihan raya umum, parti-parti pembangkang telah membangkitkan pelbagai tohmahan bagi menagih simpati rakyat dengan menuduh kerajaan zalim, tidak bertanggungjawab, rasuah dan tidak membantu rakyat melalui pelbagai cara termasuk menggunakan laman sosial.

Beliau bimbang jika tohmahan itu dilakukan berulang kali, ia mungkin diterima rakyat sebagai satu kebenaran dan boleh meluntur keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Muhyiddin berkata, kepimpinan negara telah menangani pelbagai masalah secara bijaksana sehingga ekonomi negara terus berkembang secara positif ketika berhadapan dengan krisis ekonomi.

Pada majlis itu, Muhyiddin secara simbolik melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang akan dilaksanakan di Perlis mulai Ahad.

Beliau juga menanam pokok mempelam harumanis sempena perasmian Dewan Seri Melati itu yang bakal menjadi pusat kegiatan masyarakat bagi kawasan parlimen Padang Besar.

Kemudian, Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman turut beramah mesra dengan orang ramai pada majlis jamuan petang. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment