Saturday 21 January 2012

MEMBANGUN KEBERANIAN MELAWAN KEZALIMAN



Oleh : NASPAZI

CITRA kemudi Sabah pasca PRU ke-13 hendaknya, mampu menyerlahkan sebuah kerajaan baru yang sederhana atau tidak besar kepala. Namun, dalam kesederhanaan itu dapat menjernihkan kekabutan sistem pemerintahan proksi dan talibarut gerombolan Melayu UMNO selama 36 tahun menghirup hasil Sabah.

Sedia maklum bahawa, rakyat Sabah pasca USNO memang telah dilatih, diasak, digasak dan didesak melalui sistem pendidikan haprak gerombolan melayu UMNO agar berfikir dan mengaku atau akur bahawa, Sabah adalah negeri ke-12 bagi Malaya yang di upgrade menjadi Malaysia dan seolah-olah bukan lagi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia 1963.

Angkara Harris Salleh dan Mahathir Mohamad

Sesungguhnya, di zaman USNO, hampir semua jawatan Ketua Jabatan yang ditinggalkan oleh British sudah hampir sepenuhnya diambil alih oleh anak-anak tempatan Sabah; sebagaimana yang dipersetujui dalam Perjanjian 20 perkara, namun di zaman Harris Salleh dan Mahathir Mohamad adalah sebaliknya.

Yang demikian, lantaran angkara Harris Salleh dan Mahathir Mohamad, maka selepas USNO dikalahkan atau diketepikan, bukan sahaja Ketua-Ketua Jabatan di Sabah tidak diserahkan kepada anak-anak tempatan Sabah, bahkan dirompak dan disamun oleh pegawai-pegawai Malaya dan lebih parah lagi, banyak jabatan di Sabah yang telah diserahkan untuk diswastakan kepada gerombolan Melayu UMNO atau di Malayakan atas nama persekutuan kononnya.

Ciss! Sudah terang lagi bersuluh, betapa pengambilan hak mentadbir pelbagai jabatan dan ketua jabatan di Sabah oleh gerombolan Melayu UMNO yang British tinggalkan, adalah mercu tanda atau lambang pengkhianatan dan pencabulan mutlak Malaya terhadap Perjanjian 20 Perkara. Kalau begitu, apa lagi yang tinggal untuk anak-anak tempatan Sabah Tanah Airku yang dikatakan merdeka dan berdaulat ini selain kemiskinan dan hutang?

“The World Bank (WB) in Washington has confirmed through a new study that Sabah is not only the poorest state in Malaysia but it’s likely to stay that way for a considerable length of time given current efforts in poverty eradication. The bottomline was that Malaysia’s economic planning in Sabah so far has not been for inclusive growth” (Malaysiakini: 11/11/2010).

Justeru, tidak hairanlah jika majoriti Sabahan yang melaungkan ungkapan keadilan hak untuk Sabah kononnya. Namun, pada waktu yang sama mereka memijak keluhuran dan kedaulatan 20 Perkara dengan membawa masuk parti-parti Malaya ke Sabah tanpa mengambil kira status Sabah dan Sarawak adalah setara dengan Malaya dalam konteks Negara Malaysia 1963; iaitu, sebagaimana yang pernah saya nyatakan dalam beberapa siri paradigma yang lepas bahawa Malaysia adalah Negara Konfederasi. Maksudnya, satu ketua negara (Raja), tiga ketua kerajaan (Perdana Menteri).

Malangnya, betapa tingkah laku pimpinan 'opposition' sendiri di Sabah betul-betul bikin gerigitan. Mengapa bikin gerigitan? Kerana mereka ternampak masing-masing mahu jadi ketua; masing-masing mengidam jawatan dan pangkat tanpa mengambil kira dinamika diri mereka dalam usaha memikul cabaran mengangkat maruah Sabah semula; sama ada setanding dengan Brunei dan Singapura atau sekurang-kurangnya dapat mendaulatkan 20 Perkara di samping tanggungjawab membayar hutang Sabah sekian bilion kepada Malaya dari hasil Sabah sendiri sebenarnya bagi mengelakkan Sabah dari jatuh bankrap.

Kadang kala terlintas dalam fikiran, apalah gunanya perebutan mahu jadi ketua yang separuh masak itu semua? Yang akhirnya, bukan sahaja semua berputih mata, bahkan rakyat Sabah akan terus tenggelam dan kekal dalam kotak pandora penindasan gerombolan melayu UMNO.

Oleh itu, saya pernah menulis bahawa, bukan soal siapa yang memimpin Sabah; tetapi siapa pemimpin Sabah yang berwibawa mempertahankan kedaulatan 20 Perkara hak Rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963?; walaupun perjanjian tersebut dianggap sebagai sudah lapok dan basi oleh gerombolan Melayu UMNO di Sabah.

Oleh itu, pimpinan opposition di Sabah sepatutnya bersatu dalam satu pasukan melawan kezaliman gerombolan melayu UMNO. Pakatan Borneo, contohnya. Kemudian, sepakat melantik Datuk Dr. Jeffrey Kitingan sebagai ketua dalam usaha mempertahankan autonomi dan kedaulatan Sabah.

Mengapa Datuk Dr. Jeffrey? Datuk Dr. Jeffrey, dalam apa ukuran sekalipun sebenarnya memang jauh lebih wibawa mengemudi Sabah berbanding pengamal politik yang lain di Sabah termasuklah gerombolan melayu UMNO.

Datuk Dr. Jeffrey dalam bidang akademik contohnya, ia diakui sebagai seorang yang bijaksana antarabangsa, sehingga teori ilmiah beliau tentang 'Ekonomi Makro’ digunapakai seantero dunia. Tetapi, menjadi mangsa konotasi kotor dan busuk oleh gerombolan melayu UMNO, sebagaimana gerombolan melayu UMNO memberi konotasi kotor dan busuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Justeru, kaedah politik yang kotor hanya dapat dihancurkan, jika kaedah politik yang bersih bersatu!

Memorandum Kepada PBB Dan Kerajaan British

Pasca PRU ke-13 sekiranya kerajaan talibarut gerombolan Melayu UMNO di Sabah berjaya ditumpaskan, maka menjadi tanggungjawab kabinet baru, Datuk Dr. Jeffrey contohnya untuk merangka dan mengutus memorandum kepada PBB dan kerajaan British, meminta agar satu resolusi PBB diadakan bagi mengutuk dan seterusnya campur tangan PBB dan kerajaan British terhadap tindakan gerombolan Melayu UMNO yang mencabul Perjanjian pembentukan Malaysia 1963:

1. gerombolan Melayu UMNO telah mencabul Perjanjian 20 Perkara yang menjadi syarat pokok Sabah menganggotai penubuhan Malaysia 1963,

2. gerombolan Melayu UMNO telah melakukan jenayah kemanusiaan melalui pemberian Kad Pengenalan kepada ratusan ribu Pendatang Asing Tanpa Izin.

Justeru, pakar-pakar perundangan Rakyat Sabah sewajarnya mula bertindak dari sekarang untuk merangka garis kasar memorandum yang perlu dikemukakan kepada PBB dan kerajaan British.

Namun begitu, saya sedar bahawa ada ketua jabatan proksi gerombolan Melayu UMNO di Sabah yang berkata, siapa kau? Maksudnya, siapalah Naspazi yang hendak mencuba bersuara tentang keadilan bagi pihak Rakyat Sabah. Saya jawab, biarlah sang harimau mengaum sendirian, terpulanglah kepada sang kambing-kambing gerombolan Melayu UMNO di Sabah sama ada menghiraukannya atau tidak.

Tetapi, setiap orang wajar menyedari hakikat bahawa, mana-mana negara selamanya tidak menjadi hebat tanpa kewujudan pemimpin yang memiliki keberanian tinggi menggapai impian. Amerika Syarikat menjadi hebat kerana wujudnya George Washington sebagai Presiden. Jepun menjadi hebat kerana hadirnya Meiji sebagai Maharaja. Singapura menjadi hebat kerana hadirnya Lee Kuan Yew sebagai Perdana Menteri.

Demikianlah, seakan menjadi satu kewajaran yang mendesak bagi rakyat Sabah agar serius dan dedikasi mencari dan mengangkat pemimpin yang berwibawa, dinamik dan komprehensif dalam usaha membersihkan air muka Sabah dari najis politik haram jadah gerombolan melayu UMNO, waima di persada antarabangsa sekalipun, sebagai Sabah baru yang damai dan sentosa, selamat dan berkualiti. Oleh itu, jika mengambil kira disiplin kesarjanaan tinggi, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan memiliki standard yang saya maksudkan.

Lantaran itu, cabaran terbesar yang mendepani cendekiawan Sabah khususnya dan rakyat Sabah amnya, tidak lain dari serentak bertindak dan bangkit bersatu sebelum terlalu lambat untuk menyapu dan membersihkan kelibat parti-parti sampah yang bersifat Malaya khususnya parti gerombolan melayu UMNO dari terus-menerus mengotori bumi Sabah dengan pelbagai bentuk tingkah laku kebinatangan yang bertentangan dengan kelakuan tamadun.

Betapa gerombolan Melayu UMNO dan barua-baruanya di Sabah adalah parasit yang telah memusnahkan keharmonian leluhur tulen rakyat Sabah bermasyarakat dan bernegara melalui dendangan sentimen keagamaan dan irama perkauman, di samping begitu handal merompak, memunggah, mengaut dan menghisap hasil Sabah ke Malaya, dan pada masa yang sama, Sabah mereka campak ke dalam jurang dan gaung kemiskinan bagi memungkinkan rakyat Sabah selamanya bergantung harap kepada gerombolan melayu UMNO atau proksi-proksinya untuk meneruskan hidup laksana hamba abdi di zaman Firaun atau leluhur Barack Obama di Amerika sebelum merdeka.

Sesungguhnya, telah tiba waktunya buat seluruh cendekiawan Sabah bersatu ke arah membentuk satu ketumbukan parti tunggal dalam usaha menghancurkan gerombolan Melayu UMNO, bagi menyelamatkan maruah Sabah dari puing-puing kemusnahan total angkara kedurjanaan gerombolan Melayu UMNO dan talibarutnya sekian dekad di Sabah!.

UMNO SARJANA AGUNG DALAM MENIPU!

11 comments:

  1. Jangan biar Sabah menjadi negeri termiskin di Malaysia, Sabah kaya dengan hasil semulajadi dan ia patut boleh membantu Sabah mencapai ekonomi yang lebih baik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kerajaan harus bijaksana menggunakan sumber semula jadi Sabah untuk membangunkan Sabah

      Delete
  2. Apa yang penting sekarang adalah meningkatkan sistem pendidikan di Sabah supaya kita boleh melahirkan masyarakat yang berpendidikan tinggi, hanya pendidikan sahaja yang boleh menyelamatkan rakyat kita daripada terus miskin dan sukar membangun.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar. Dengan adanya pendidikan, rakyat Sabah mampu berfikir dengan lebih kritis seterusnya membantu dalam membuat penilaian yang bijak dalam satu-satu perkara.

      Delete
  3. Sabah harus bangkit untuk membangun dan maju, pembangunan bukan hanya dari segi infrastruktur, tapi yng penting adalah dari segi pendidikan.

    ReplyDelete
  4. Citra, tiak perlulah banyak bising2. tengok saja nanti PRU13 apa kejaian.

    ReplyDelete
  5. alangkah baiknya jika semua yang terkandung dalam 20 Perkara ditepati. namun adakah 20 Perkara masih relevan??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Relevan atau tidak, 20 Perkara harus dihormati dan dilindungi.

      Delete
  6. Seharusnya jawatan yang ada di Sabah perlulah diberikan keutamaan kepada penduduk Sabah sendiri. Kerana kita perlu menepati permintaan 20 perkara yang telah dipersetujui oleh Sabah untuk menyertai Malaysia.

    ReplyDelete
  7. persoalannya mampukah pembangkang terutamanya Jeffrey menumpaskan BN Sabah?? adakah kewujudan parti baru di Sabah akan memberikan sinar baru kepada pembangkang untuk merampas negeri ini??

    ReplyDelete
  8. jika Jeffrey benar2 mahu melihat pembangkang merampas kerajaan negeri Sabah, beliau tidak sepatutnya membawa parti luar ke negeri ini.. beliau sepatutnya bekerjasama dengan parti tempatan sedia ada seperti SAPP..

    ReplyDelete