Wednesday 25 January 2012

MPM SOKONG HAK BERSUARA, BUKAN HOMO

Oleh : LISA J. ARIFFIN (TMI)

MAJLIS Peguam Malaysia (MPM) menafikan dakwaan Utusan Malaysia bahawa ia menyokong kumpulan homoseksual tetapi berkata ia menyokong hak bersuara bagi 'minoriti yang didiskriminasi dan ditindas disebabkan identiti seksual mereka.'

Seorang ketua biro Utusan Malaysia telah mempersoalkan mengapa Majlis Peguam 'menyokong' kumpulan homoseksual dalam kalangan rakyat Malaysia, dan menggelarnya sebagai 'Gelombang Songsang' yang semakin diterima masyarakat dunia.

Tetapi Pesiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar) berkata kepada The Malaysian Insider “dakwaan Utusan langsung tidak relevan.”

“Kita tidak akan menyokong perkahwinan sama jantina tetapi menyokong penuh kebebasan bersuara untuk sesiapa pun termasuk (Presiden Perkasa Datuk) Ibrahim Ali walaupun tidak bersetuju dengan pandangannya,” dia berkata, merujuk kepada Ketua NGO Melayu itu.

Lim berkata kepada The Malaysian Insider, di bawah Seksyen 377 Kanun Jenayah melarang kedua-dua seks oral dan anal tanpa mana-mana perbezaan berhubung dengan keseksualan.

“Penetrasi adalah mencukupi bagi membentuk hubungan seksual perlu bagi kesalahan yang digambarkan dalam seksyen ini. Apa yang jelas adalah peruntukan-peruntukan ini tidak menjelaskan perbezaan antara kegiatan hubungan jenis dan heteroseksual,” katanya.

Tambahnya, Majlis Peguam menyokong kebebasan bersuara dan berhimpun oleh kumpulan minoriti tersebut yang didiskriminasi dan ditindas disebabkan gender dan seksual identiti mereka.

Seksyen 377 memperuntukkan, “mana-mana individu yang mempunyai hubungan seksual dengan menggunakan zakar terhadap mulut dan dubur orang lain telah melakukan persetubuhan jasmani yang menentang fitrah semula jadi manusia."

Menurut Lim, golongan heteroseksual melibatkan seks oral dan anal, undang-undang demikian sebenarnya menunjukkan satu 'Hipokrasi Moral'.

Noraini Razak, yang juga bekas editor berita di akhbar harian berbahasa Melayu, itu menuduh peguam-peguam tersebut menyokong kumpulan gay, lesbian, dan transgender, sedangkan Malaysia merupakan negara ke 70 daripada 195 negara yang mengharamkan homoseks.

“Secara jujurnya, sangat aneh apabila gelombang songsang yang dipertahankan oleh kumpulan (Seksualiti Merdeka) mendapat sokongan daripada NGO tempatan termasuk Majlis Peguam,” menurutnya dalam kolum tersebut.

Utusan baru-baru ini menuduh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong kumpulan homoseksual semasa sesi temubual dengan BBC.

Dalam sesi tersebut, wartawan BBC bertanya soalan kepada Anwar sama ada beliau bersedia untuk mendesak idea anti-diskriminasi, terhadap golongan gay, yang melihatkan Anwar berkata, “kami perlu untuk menyemak semula undang-undang purba kami.”

“Sebagai orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, kami percaya dan komited menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita, tapi kami tidak harus dilihat menjadi punitif dan mempertimbangkan undang-undang purba sebagai relevan,” kata Anwar kepada BBC.

Tetapi, Anwar turut menyatakan Pakatan Rakyat tidak menyokong gejala homoseks, bahagian temu bual tersebut yang tidak dimasukkan Utusan.

Anwar telah menuntut sejumlah RM150 juta sebagai ganti rugi daripada akhbar harian Umno tersebut kerana telah mencalarkan imej dan reputasinya dalam artikel yang menuduhnya menjadi penyokong kepada hak-hak komuniti gay.

No comments:

Post a Comment