Tuesday 24 January 2012

PARTI ADAT SOSIAL (PAS) SATU PENGHINAAN

Oleh : AZMAN ARIFFIN

PENULIS mendapat tahu telah bertebaran di laman-laman sosial penghinaan terbaru kepada parti PAS lanjutan dari tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio agama yang sebelum ini dipertanggungjawabkan pada parti PAS.

Nama PAS telah dipersendakan kepada Parti Adat & Sosial, sempena portfolio Exco baru Selangor dari PAS, Dr. Ahmad Yunus Hairi yang menggantikan Datuk Dr. Hasan Ali yang disingkirkan.

Mungkin para penghina ini terlupa bahawa mereka bukan mempersendakan PAS sebagai sebuah parti tapi mereka mempersendakan Islam kerana perjuangan PAS adalah perjuangan Islam.

Walaupun tidak sampai ke tahap melaksanakan hudud (kerana sudah diputuskan di peringkat kepimpinan Pakatan Rakyat) tapi PAS masih lagi parti yang berasaskan prinsip-prinsip Islam dan akan memperkasakan Islam dalam kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat yabg bakal ditubuhkan selepas pilihanraya umum ke-13 nanti.

Tapi dalam masa yang sama penulis perlu akui bahawa keadaan ini turut disumbangkan oleh kesalahan dari dalam pergerakan kita sendiri juga.

Penulis dan beberapa pihak dalam PAS masih beranggapan portfolio agama itu sepatutnya dikembalikan kepada PAS kerana di Selangor ia adalah posisi yang penting kepada orang Islam dan rakyat Selangor.

Penulis tidak bersetuju dengan tanggapan beberapa pihak dari dalam PAS sendiri seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dan Khalid Samad bahawa portfolio Islam untuk ahli Exco dari PAS adalah satu pandangan lama.

Pada penulis tanggapan sedemikian hanya merendahkan matlamat dan perjuangan PAS itu sendiri, dari perlembagaan sehingga kepada tatacara ahli biasa, semuanya menjurus kepada Islam dan Islam semata-mata. Kalau keluar dari mulut Khalid Samad, mungkin penulis kurang terkejut, tapi bila keluar dari mulut veteran PAS seperti Tuan Ibrahim, itu agak menghampakan.

PAS dan perjuangan Islam adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan. Apakah makna perjuangan itu kalau PAS tidak diberi peluang untuk mempraktikkan di peringkat pentadbiran kerajaan negeri?

Penulis berpendapat kita mungkin mahu menyesuaikan PAS dengan suasana dan persekitaran politik yang baru tapi masih ada beberapa perkara dalam PAS yang tidak boleh diubah kerana ia selaras dengan kehendak pengundi yang masih mahu imej Islam pada PAS.

No comments:

Post a Comment