Tuesday 3 January 2012

PERSEKUTUAN ROMPAK RM177.3 JUTA WANG SABAH?



Oleh : MUTALIB M.D

PENGUMUMAN rasmi yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Mohammad Bin Mentek bahawa Jabatannya berjaya memungut RM177.3 juta pada 2011 berbanding dengan RM129.1 juta pada 2010 melepasi target RM160 juta; begitu memeranjatkan ramai pihak, namun mereka enggan bersuara demi Semangat 1Malaysia.

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu mendedahkan demikian dalam emailnya kepada Sabahkini.net sebentar tadi.

Menurut Patrick, Kerajaan Persekutuan sewajarnya mengembalikan semua pungutan berkaitan permit masuk, levi dan sebagainya kepada Kerajaan Negeri Sabah selaras dengan Ketetapan 20 Perkara.

Namun senario terkini, kata Patrick, berlaku ‘Rampasan Kuasa’ Imigresen terutama penubuhan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Task Force) secara Ad-Hoc yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menafikan hak kerajaan negeri untuk menguatkuasakan Perkara 6 kerana Jabatan Imigresen adalah Jabatan Persekutuan.

Hakikatnya, tegas Patrick, Kerajaan Persekutuan boleh dianggap ‘merompak’ harta negeri Sabah dan dalam masa yang sama tidak bertanggung jawab menyediakan kemudahan asas dan autonomi kepada Sabah dalam bidang Imigresen; terutama menafikan hak Lahad Datu dan beberapa daerah untuk dinaiktaraf sebagai Pejabat Wilayah sekalipun mencatatkan pendapatan berjuta ringgit setahun.

Menurut Patrick, Perkara 6: Imigresen (20 Perkara) menyebut bahawa;

"Kawalan kemasukan orang ke mana-mana kawasan di Malaysia dari luar adalah terletak di bawah kuasa Kerajaan Pusat, tetapi kemasukan ke Borneo Utara perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri. Kerajaan Persekutan tidak boleh menghalang kemasukan orang ke Borneo Utara untuk tujuan Kerajaan Negeri kecuali atas sebab keselamatan. Borneo Utara hendaklah mempunyai kuasa yang tidak terbatas bagi mengawal pergerakan orang-orang dari kawasan-kawasan lain di Malaysia ke dalam Borneo Utara, selain daripada yang bekerja dengan Kerajaan Persekutuan di Borneo utara."

Sehubungan itu, Patrick menggesa agar Kerajaan Persekutuan tidak berdolak dalih untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (SSD) kerana Kerajaan Persekutuan yang bertanggung jawab secara langsung berhubung lambakan PATI di Sabah dan dalam masa yang sama memperolehi ratusan juta setahun hasil levi dan pelbagai bayaran; tetapi rakyat Sabah yang menanggung penderitaan dan beban dalam jangka masa panjang.

No comments:

Post a Comment