Thursday 19 January 2012

SAMAN KELANTAN IKUT ISU PERUNDANGAN



SAMAN kerajaan Kelantan ke atas Petroleum Nasional Bhd (Petronas) berhubung mungkir janji akan didengar dan diselesaikan mengikut isu perundangan.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan dan Petronas supaya membolehkan hakim memutuskan saman itu ditentukan secara isu perundangan.

Zabariah membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah panjang lebar oleh semua pihak Rabu dan menentapkan 20 Feb sebagai tarikh pengurusan kes.

Kedua-dua pihak berkenaan (kerajaan Persekutuan dan Petronas) memohon hakim memutuskan kes berpandukan isu perundangan di bawah Perintah 14A Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 dan Perintah 33 dalam peraturan yang sama tanpa perlu perbicaraan penuh.

Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi bertindak di pihak kerajaan Persekutuan, peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili Petronas manakala Ganesan Nethi dan Nur Ashikin Abdul Rahim sebagai peguam di pihak kerajaan negeri Kelantan.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Azizah berkata kerajaan Perskutuan telah mencadangkan tiga persoalan atau isu perundangan untuk saman tersebut sementara Petronas mengemukakan lima isu perundangan.

"Bagaimanapun isu pertama hingga yang ketiga dibangkitkan oleh kerajaan Persekutuan dan Petronas itu adalah hampir serupa," katanya.

Dua isu utama adalah sama ada kerajaan Kelantan mempunyai hak di bawah undang-undang berhubung petroleum yang dimenangi dan tersimpan di 'pentas benua' (seperti ditakrifkan di bawah Akta Pentas Benua 1966) dan sama ada negeri itu berhak bagi pembayaran daripada petroleum.


Kerajaan negeri Kelantan menyaman Petronas kerana dikatakan mungkir janji untuk membuat pembayaran tunai kepada Kelantan bagi hasil minyak.

Dalam saman itu yang dikemukakan pada 30 Ogos 2010, pihak plaintif menamakan Petronas sebagai defendan pertama.

Kerajaan Persekutuan namun berjaya dalam permohonannya untuk mencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua dalam tuntutan saman tersebut.

Dalam penyata tuntutannya, kerajaan Kelantan menuntut Petronas supaya membuat pembayaran tunggakan dan bayaran tunai seterusnya bagi petroleum dihasilkan di luar pantai Kelantan seperti ditetapkan dalam perjanjian petroleum.

Kerajaan negeri itu juga menuntut ganti rugi dan kos. Bagaimanapun ia tidak menetapkan jumlah keseluruhan yang ditutut daripada Petronas.

Dalam tuntutan, kerajaan negeri menyatakan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan dimetrai pada 9 Mei 1975, jelas menyebut bahawa Petronas perlu membayar tunai lima peratus daripada hasil minyak sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau luar pantai.

Ia menyatakan satu perengan daripada perjanjian itu menyebut bahawa pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac atau pada atau sebelum 1 Sept. (BERNAMA)

7 comments:

  1. Harap Petronas akan menunaikan perjanjian yang dibuat terhadap Kelantan mengenai pembayaran royalti minyak ini.

    ReplyDelete
  2. moga kes ini akan dibicarakan dgn adil dan saksama.

    ReplyDelete
  3. Daripada buat demo, lebih baik mengikut saluran yang betul

    ReplyDelete
  4. Ikut perundangan yang telah ditetapkan. Menang atau tidak semua itu akan dihakimi oleh pihak yang bertanggungajwab.

    ReplyDelete
  5. jika Sabah berada dalam situasi ini rasanya beranikah mereka bertindak seperti negeri Kelantan ni?

    ReplyDelete
  6. Petronas perlu menunaikan janji mereka seperti yang termaktub dalam perjanjian. Ia adalah satu perbuatan yang tidak amanah apabila perjanjian itu tidak ditepati.

    ReplyDelete
  7. semoga saman PAS ini berjaya mendapatkan semula hak negeri kelantan..

    ReplyDelete