Tuesday 3 January 2012

SHAHRIZAT NAFI SERAH SURAT LETAK JAWATAN



MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menafikan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Itu tidak benar. Saya tidak pernah beri surat peletakan jawatan. Banyak khabar angin kerana sebenarnya itu yang pembangkang hendak tengok berlaku," katanya kepada pemberita selepas Program Pemantapan Jentera Pilihan Raya Wanita Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri berhubung jawatannya dalam Kabinet.

"Semuanya terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukannya kerana jawatan Kabinet adalah kuasa di atas bahu Perdana Menteri Malaysia," katanya.

Najib sebelum ini menafikan menerima surat peletakan jawatan Shahrizat yang dilanda kontroversi isu Pusat Fidlot Kebangsaan.

Sementara itu, Shahrizat yang juga Ketua Wanita BN berkata pihaknya telah mengenal pasti 30 kawasan parlimen yang akan diberikan tumpuan dan perhatian luar biasa daripada jentera pilihan raya Wanita BN.

Katanya kawasan parlimen berkenaan adalah kawasan yang diterajui pemimpin tertinggi parti pembangkang yang dijangka berjaya dirampas semula oleh BN pada pilihan raya umum ke-13. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment