Sunday 8 January 2012

TIDAK PERLU PINJAM BANK DUNIA UNTUK BR1M



Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan mampu melaksanakan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berikutan kekuatan ekonomi dalaman negara yang menjana hasil memberangsangkan.

Perdana Menteri, yang menolak dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan membuat pinjaman, menegaskan bahawa kerajaan tidak meminjam daripada Bank Dunia bagi membiayai program itu.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kekuatan ekonomi dalaman berikutan pentadbiran yang cekap sehingga berjaya meningkatkan hasil negara sebanyak RM22 bilion tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Najib berkata kali terakhir kerajaan membuat pinjaman daripada Bank Dunia ialah pada 1998 iaitu sebanyak US$400 juta dan tiada lagi pinjaman dibuat selepas itu.

“(Dakwaan pinjaman) yang terbaru ialah di mana kerajaan terpaksa meminjam daripada Bank Dunia untuk pembayaran BR1M.

“Ini jelas tuduhan itu tidak benar sama sekali dan satu lagi dakwaan dalam bentuk pembohongan parti pembangkang,” katanya semasa melancarkan Komuniti 1Malaysia di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, kelmarin.

Menerusi program BR1M, yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 pada Oktober lepas, bantuan kewangan RM500 akan diberikan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.

Najib berkata walaupun kerajaan mengadakan program BR1M, defisit negara tidak meningkat malahan berkurangan.

Beliau berkata pembangkang juga cuba mencetuskan kontroversi dan memberi gambaran negatif kepada program kerajaan yang berjaya.

“Tunjuk bukti, kalau tak ada bukti jangan cakap saja. Kita tidak gentar. Kita tidak takut kerana kita berdiri di atas kebenaran,” katanya.

Membandingkan ekonomi negara dengan beberapa negara Eropah, Perdana Menteri berkata gaji kakitangan awam mereka dipotong sedangkan penjawat awam negara ini dinaikkan gaji di bawah Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Selain itu, kata Najib terdapat juga peruntukan mereka seperti dalam sektor pendidikan, pembangunan dan sebagainya yang dikurangkan tetapi di Malaysia ia dikekalkan malah kerajaan juga sanggup memberikan peruntukan tambahan demi rakyat.

“Ini adalah pengalaman menguruskan negara dengan cekap dan jika kita (kerajaan) membuat perhitungan yang silap ekonomi negara boleh merudum dengan cepat,” katanya.

Najib berkata suasana ekonomi merudum boleh menghilangkan keyakinan pelabur tetapi Malaysia menyaksikan lebih pelaburan luar masuk ke dalam negara tahun lepas.

“Inilah kejayaan pentadbiran kita. Bila kita buat keputusan kita pastikan tidak menjejaskan kepentingan jangka panjang negara. Kalau perhitungan yang silap apa yang semuanya dibina selama ini akan berkecai sekelip mata.

“Sebab itulah tidak boleh menyerahkan negara kepada mereka yang tidak ada pengalaman mengurus dengan cekap seperti BN (Barisan Nasional),” katanya.

Najib berkata perubahan yang diadakan kerajaan bukan hanya sekadar untuk membuat perubahan kerana ia belum tentu menjanjikan apa-apa tetapi perubahan menyeluruh dari atas ke bawah untuk semua masyarakat melalui transformasi nasional.

Beliau memberikan contoh negara Mesir, apabila berlaku perubahan (kerajaan berikutan demonstrasi) ia melumpuhkan sektor pelancongan negara, negara menjadi tidak stabil dan menjejaskan keselamatan.

Menyentuh pilihan raya umum, Najib berkata beliau tidak tahu sama ada ia akan diadakan pada bulan Julai atau April atau sebagainya.

“Tetapi apabila tiba masa kita mesti tentukan. Masa depan negara hanya terjamin dengan BN. Kita ada gagasan 1Malaysia yang bersifat adil, inklusif dan hak setiap kaum terjamin di bawah Perlembagaan Pesekutuan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

12 comments:

  1. Jika betul kerajaan kita mahu meminjam dari Bank Dunai pasal BR1M ini, belum tentu lagi mereka akan luluskan.

    ReplyDelete
  2. Sebaiknya pihak yang mendakwa itu tampil dengan bukti kukuh. Bukan buat dakwaan secara rambang.

    ReplyDelete
  3. ekonomi negara masih kukuh...tak perlu lah buat pinjaman dengan bank dunia

    ReplyDelete
  4. dakwaan bahawa kerajaan meminjam dari bank dunia tidak berasas sama sekali.

    ReplyDelete
  5. dana BR1M bukannya dipinjam. penjelasan sudah pun diberikan.

    ReplyDelete
  6. harap isu ini tidak lagi dimainkan oleh mana-mana pihak kerana penjelasan sudahpun diberikan.

    ReplyDelete
  7. jika wang BR1M ini dipinjam dari Bank Dunia, lebih baik tidak laksanakan untuk rakyat. lagipun, pasti beban hutang ini akan sedikit demi sedikit diserap dari rakyat juga melalui cukai yang dikenakan.

    ReplyDelete
  8. apapun, saya tak rasa kerajaan akan ambil tindakan yang kurang bijak seperti ini.

    ReplyDelete
  9. Najib tidak akan melakukan semua itu. Pasti itu cuma khabar angin dari pihak lain bagi memburukan Najib.

    ReplyDelete
  10. Lebih baik jangan berhutang kepada mana-mana agensi antarabangsa jika boleh.

    ReplyDelete
  11. bila kerajaan bagi bantuan yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat, ramai pula pihak yang tidak berpuas hati dan cuba menimbulkan pelbagai spekulasi.. begitu juga ketika diawal pelaksanaan kedai rakyat 1Malaysia.. adakah bagi pihak tersebut bahawa rakyat tidak layak menerima bantuan ini??

    ReplyDelete
  12. bagaimana pula dengan tindakan Pakatan Rakyat dan juga penganjur Bersih yang mendapat bantuan dari kuasa asing bagi membiayai penganjuran demonstrasi Bersih di negara ini dan di beberapa negara lain?? bukankah tindakan itu lebih bahaya?? dan tidak mustahil Pakatan mempunyai hutang yang banyak sebelum mengambil alih tampuk pemerintahan negara.. sebab itu mereka beriya2 mahu merampas kerajaan bagi membolehkan mereka membayar semua hutang2 itu..

    ReplyDelete