Sunday 26 February 2012

AH LONG (WANITA) 51 TAHUN DIDAKWA

SEORANG wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan memberi pinjaman wang kepada orang ramai tanpa lesen, manakala dua lelaki pula didakwa membantunya menjalankan kegiatan itu baru-baru ini.

Lim Ah Hong, 52, K. Kesavan, 36, dan K. Letchuman, 46, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Ah Hong sebagai seorang individu yang tidak mempunyai lesen di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 didakwa menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang di Syarikat Hau Yun Enterprise, No. 118A, Solok Pandamaran 1, Taman Pandamaran Indah, Klang pada pukul 10 pagi, 20 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 5(1) akta tersebut dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 (2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kesavan dan Letchuman pula didakwa mengikut Seksyen 29AA(1) akta sama atas tuduhan membantu Ah Hong menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen pada masa dan tempat yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie mencadangkan jaminan RM50,000 kepada Ah Hong manakala RM30,000 kepada Kesavan dan Letchuman masing-masing dengan seorang penjamin.

Ah Hong yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan yang lebih rendah kerana tidak berkemampuan, selain tidak mempunyai suami.

Kesavan dan Letchuman pula memberi alasan tidak mempunyai pekerjaan selain membantu Ah Hong di samping masing-masing mempunyai isteri dan anak-anak yang perlu disara.

Aslam membenarkan Ah Hong diikat jamin RM40,000 manakala dua lagi tertuduh sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Beliau turut memerintahkan ketiga-tiganya menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Isnin pertama setiap bulan sehingga kes selesai didengar dan diputuskan.

Kes itu akan disebut semula pada 28 Mac ini untuk tertuduh melantik peguam.

No comments:

Post a Comment