Sunday 26 February 2012

ANAK TAK SAH TARAF, FATWA BELUM MUKTAMAD

Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

MUFTI Perlis, Juanda Jaya menjelaskan keputusan Muzakarah Fatwa yang menyatakan anak yang lahir kurang enam bulan daripada tarikh perkahwinan ibu bapa mereka tidak boleh dinasabkan kepada nama bapa mereka adalah keputusan yang belum muktamad selagi ia tidak digazetkan dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja yang merupakan Ketua Agama Islam di setiap negeri.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat hanyalah berdasarkan hasil daripada perbincangan muzakarah dan bukannya mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang diarahkan oleh Majlis Raja-Raja.

"Keputusan tersebut wajar disemak semula.” Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas forum membincangkan isu anak tidah sah taraf, “Ada Apa Pada Nama,” anjuran Sisters in Islam' di Kuala Lumpur, pagi kelmarin.

"Orang ramai masih boleh mempertikaikan perkara itu dan membawa kes berkenaan ke mahkamah sekiranya mereka menghadapi kesulitan mendaftarkan anak yang lahir kurang enam bulan daripada tarikh perkahwinan mereka," tegasnya.

Tambah Juanda, nasab keturunan adalah nikmat Allah yang paling besar kepada manusia dan pentafsiran yang salah antara hadis 'Mafhum' (makna tersirat) dan 'Mantuq' (makna tersurat) telah menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan berhubung perkara itu, sedangkan Islam tidak pernah menetapkan anak yang lahir kurang enam bulan tidak boleh dinasabkan kepada bapanya.

"Sifat Islam adalah menjaga maruah setiap anak yang lahir, sekiranya mereka adalah hasil hubungan terlarang, itu kita bincang perkara lain. Sekiranya bapa kepada kanak-kanak itu sudah mengakui itu adalah anaknya, dalam Islam, harus di 'bin' atau 'binti' anak tersebut kepada bapanya, itu hak mereka sebagai manusia.

"Tapi budaya masyarakat kita yang suka menghukum telah menjadikan gejala sosial dan buang bayi berleluasa. Disebabkan mereka malu mempunyai anak luar nikah, maka anak itu dibuang dan itu telah membuka kepada satu lagi pintu dosa," tegasnya.

Jelas Juanda lagi, pihaknya turut menyatakan kekesalan dengan tindakan petugas pendaftar kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dilihatnya seakan menjadi hakim menentukan sah atau tidak taraf seseorang itu.

"Saya masih lagi tak faham mengapa mereka mesti menjadi penghukum untuk mengkelaskan status anak halal dengan anak tidak sah taraf, siapa kita nak persoalkan halal haram anak tersebut. Itu jenayah agama yang menghukum," tegasnya lagi yang kesal dengan tindakan sedemikian.

Tambah beliau, "Sabitan nasab terhadap kanak-kanak dalam Islam adalah melalui empat perkara, perkahwinan yang sah; perkahwinan fasikh, yang mana perkahwinan ibu bapa kanak-kanak tersebut diragui, 'Watin Shubahah', dan 'Qaffah', namun kesemua kanak-kanak itu harus dinasabkan kepada bapa mereka."

Kenyataan Juanda itu turut dipersetujui oleh Ketua Hakim Syariah Terengganu, Datuk Ismail Yahya yang turut menjadi panel undangan dalam forum tersebut, yang menyatakan kesedihannya melalui tindakan menghukum sedemikian.

"Nasab ini akan berkekalan sepanjang hayat, apabila kanak-kanak itu mula bersekolah, berumah tangga dan sebagainya, mereka akan terus dihantui nasab yang tidak jelas status mereka," katanya.

Sementara itu, wakil daripada Bar Council, Nizam Bashir, yang juga merupakan panel dalam forum tersebut berkata, dalam Perlembagaan sendiri melalui Artikel 5 dan 8, telah memperuntukkan setiap individu mempunyai hak untuk mendapatkan nama bapa dan nama keluarga mereka.

Laporan Berita Harian sebelum ini menyatakan, berdasarkan rekod daripada tahun 2006 hingga 2010, seramai 234,647 anak tidak sah taraf telah direkodkan di negara ini dengan 85,079 mereka adalah beragama Islam.

No comments:

Post a Comment