Thursday 9 February 2012

BADAK SUMBU BORNEO YANG KIAN PUPUS



Oleh : ALI IMRAN MOHD NOORDIN

SEEKOR badak sumbu Borneo Sumatera betina terjengket-jengket berjalan sendirian merentasi hutan setiap hari. Ia bangun pagi, mencari makanan, menggeselkan badannya ke pokok, berbunyi kegembiraan, dan kemudian berendam berjam-jam di dalam kubang kesukaannya. Di hujung hari, ia kembali ke kandangnya.

Badak sumbu itu bernama Puntung, dan antara yang terakhir dari kalangan spesiesnya. Kaki kiri hadapannya terputus ketika ia masih bayi lagi kerana termasuk ke dalam perangkap manusia yang tidak bertanggungjawab. Akibatnya, ia terpaksa menderita kesakitan dan kecederaan bertahun-tahun lamanya kerana tidak dapat mengekalkan imbangan ketika berjengket di dalam hutan.

Sejak 2007, kehidupannya menarik perhatian para penyelamat Badak Borneo Sumatera, iaitu Jabatan Hidupan Liar Sabah, Borneo Rhino Alliance (Bora) dan rakan strategik mereka, Yayasan Sime Darby.

Puntung berpindah ke 'rumah baru' sejak Hari Natal tahun lepas, iaitu di Borneo Rhino Sanctuary (BRS), tidak jauh dari habitat asalnya.

BRS adalah program kerajaan negeri Sabah bertempat di Tabin Wildlife Reserve (TWR). Ia bermatlamat menghalang kepupusan badak sumbu Borneo Sumatera, dengan berusaha meningkatkan kelahiran badak sumbu.

PUNTUNG, YANG TERSELAMAT

Hari ini, BRS melindungi tiga badak sumbu Borneo Sumatera. Dua daripadanya betina iaitu Puntung dan Gelogob, manakala yang jantan dinamakan Tam. Kesemua mereka telah mengharungi kehidupan yang tragis di hutan belantara.

Spesies itu, yang dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang, adalah antara haiwan yang paling terancam di dunia. Hanya 150 daripadanya yang masih hidup iaitu di Sumatera (Indonesia) dan kurang daripada 40 ekor di Borneo, kebanyakannya di Sabah.

"Puntung ialah ahli terbaru kami. Kami menangkapnya Disember lalu setelah mengawasinya selama tiga tahun," kata Pengerusi Bora, Dr Abdul Hamid Ahmad.

Pengarah Eksekutif Bora, Dr Junaidi @ John Payne berkata Puntung sebenarnya selamat bila merayau-rayau di dalam kawasan TWR. Namun, tiada badak sumbu lain yang memasuki kawasan itu sejak 2007, menyebabkan ia keseorangan dan tidak berupaya membiak.

"Kami kini terdesak untuk memastikan pembiakan berlalu bagi mengelakkan kepupusan. Bila kami dapat tahu pada 2009 yang Tam sudah subur, kami pun memutuskan pada awal 2010 untuk menangkap Puntung untuk dijadikan pasangannya. Gelogob sudah tidak subur lagi," tambahnya.

Namun Puntung hanya berjaya ditangkap 22 bulan selepas itu, iaitu pada Disember 2011.

Setibanya di BRS, ia dibersihkan, diberi makan dan kesihatannya diperiksa. Satu daripada tulang kakinya yang kudung didapati hilang, dan ini mengesahkan bahawa kaki itu terputus akibat perangkap binatang ketika Puntung masih bayi.

Agak menakjubkan bagaimana Puntung terselamat dan masih hidup selepas kecederaan itu, dan kini dalam keadaan sihat.

"Boleh dikatakan Puntung ini membawa harapan baru bagi mengelakkan kepupusan satu khazanah negara," kata Dr Payne.

ANCAMAN UTAMA

Dianggarkan sekurang-kuranga 60 peratus daripada populasi badak sumbu Borneo Sumatera mati sejak dua dekad lalu.

Spesies ini juga kehilangan habitat utamanya di tanah rendah akibat penerokaan manusia. Biasanya badak sumbu diburu kerana tanduknya yang biasa digunakan dalam perubatan tradisional Cina. Harga tanduknya boleh mencapai USD30,000 (RM90,000) sekilo.

Pemburuan besar-besaran telah mengurangkan populasi badak sumbu dari 1,000 ke 150 ekor, dan jumlah itu semakin berkurangan. Ia semakin hampir dengan kepupusan.

Hari ini, ancaman penerokaan tanah atau pemburuan tidak lagi seperti dahulu, namun ancaman baharu pula timbul.

Populasi badak sumbu yang subur di dalam hutan tidak mencukupi. Jumlah mereka yang amat kecil di hutan belantara Borneo mengurangkan kebarangkalian untuk mereka bertemu dan berpasangan.

"Usaha kami di BRS adalah untuk menemukan mereka dan menambahkan kebarangkalian itu," kata Pengurus Lapangan Bora, Dr Zainal Zahari Zainuddin.

Dianggarkan hanya lima atau enam ekor badak sumbu betina subur yang tinggal di Borneo, khususnya Sabah. TWR diwartakan pada 1984 setelah lokasi dengan populasi tertinggi spesies itu dikenal pasti.

SEPERTI MANUSIA

Seperti manusia, badak sumbu juga mempunyai emosi. Kadang kala ia berasa sugul. Namun, seorang pelatih dapat menanamkan kepercayaan pada diri haiwan itu terhadap manusia.

Ketua kumpulan di BRS, Alvin Erut, 25, berkata seseorang pelatih harus cepat memahami perilaku dan perangai setiap ekor badak sumbu kerana masing-masing mempunyai personaliti berbeza. Beliau mengambil contoh Tam, yang telah bersama BRS sejak 2008.

"Tam sangat sensitif tentang jadual makannya. Ia mahu makanannya dihidangkan sebaik ia pulang ke kandangnya setiap petang. Kalau kami terlambat walau sekejap pun, ia akan mula 'eep' (eep ialah terminologi yang digunakan untuk menggambarkan bunyi badak sumbu) meminta makanannya," kata Alvin sambil memberi Tam makan pisang yang telah dipotong-potong.

"Bila gembira pula, ia akan membuat bunyi 'whale' (whale ialah sejenis bunyi lain yang dikeluarkan badak sumbu). Tam sangat suka jika perutnya diusap."

Alvin berkata Tam amat berdisiplin. Ia hanya kencing di tandasnya sendiri dan di tempat yang telah ditandakan sebagai kawasannya. Ia juga pulang ke kandang pada masa tertentu. Namun, jika emosinya terganggu, perangainya boleh berubah.

Semua badak sumbu di BRS diberi makan daun, buah dan palet kuda. Selain pemakanan berjadual, dedaun berlainan jenis juga ditinggalkan di dalam kandang untuk dijamah bila-bila masa. Badak sumbu juga makan ketika mereka dilepaskan ke dalam hutan setiap hari.

MEMASTIKAN KESINAMBUNGAN

Kemajuan di BRS hari ini bergantung kepada kerjasama ketat antara kerajaan, NGO dan rakan korporat.

Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Sime Darby (SDF) Yatela Zainal Abidin berkata yayasan itu menyediakan RM5 juta untuk tempoh tiga tahun sejak 2009 bagi program pemuliharaan badak sumbu Borneo Sumatera.

"SDF menyokong pemuliharaan spesies terancam secara konsisten menerusi program Big 9 kami. Ia merangkumi sembilan spesies yang diklasifikasikan sebagai terancam di Malaysia. Selain program badak sumbu, kami juga menjalankan program bagi orang utan, gajah dan kera Bangkatan," katanya.

"Setakat ini, komitmen kami terhadap program Big 9 ialah RM 3.71 juta," tambahnya.

SDF juga bekerjasama dengan World Wide Fund for Nature (WWF) menjalankan kajian mengenai kehadiran harimau Malaya dan impaknya ke atas estet Sime Darby Plantation di Sungai Dingin, Kedah.

SDF sedang mencari program yang sesuai untuk pemuliharaan beruang matahari, burung kenyalang, harimau dahan dan tempedau, yang juga dikenali sebagai banteng. Mereka mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai program yang baik supaya menemui mereka, bagi mengadakan kerjasama.

KELAHIRAN PUTAM?

Pembiakan badak sumbu bukannya suatu proses yang mudah. Satu-satunya proses yang berjaya dengan badak sumbu dalam kurungan dari spesies ini datang dari Emi, seekor badak sumbu yang kini telah mati. Ia amat subur dan telah melahirkan tiga anak di Zoo Cincinnati di Amerika Syarikat.

Selain Emi, badak sumbu yang subur hanya boleh didapati di Sumatera (Indonesia) dan Sabah.

Pada Februari 2010, Sumatran Rhino Sanctuary di Indonesia mengumumkan badak sumbunya yang pertama bunting di dalam kurungannya. Namun, badak sumbu itu akhirnya kehilangan kandungannya.

Puntung masih baru di BRS, dan tidak banyak yang diketahui tentang kesuburannya. Namun, ia telah berusia 12 tahun dan ini menandakan kemungkinan positif baginya.

Dr Abdul Hamid berkata Bora menekankan pembiakan semula jadi antara Puntung dengan Tam. Sekiranya cara itu tidak berkesan, maka kaedah persenyawaan lain akan diusahakan.

Bora juga akan memulakan usaha mencari badak sumbu lain di luar kawasan TWR bermula Februari. Jika persenyawaan berjaya, mungkin bayi itu bakal dinamakan Putam bagi menandakan perjalanan bersejarah ibu bapanya.

10 comments:

  1. Jika bukan kerana BRS ini yang menyelamatkan beberapa ekor badak sumbu Borneo ini daripada kehidupan tragis, sudah tentu populasi spesis ini lagi sukar bertambah.

    ReplyDelete
  2. Semoga pembiakan antara Puntung dan Tam akan berjalan lancar supaya boleh mengelakkan spesis badak sumbu ini daripada pupus.

    ReplyDelete
  3. populasi badak kini makin berkurangan, jika ia tidak dipulihara, ia akan pupus.

    ReplyDelete
  4. kita harus lindungi spesis ini dari ancaman.

    ReplyDelete
  5. hidupan liar yang semakin pupus harus dilindungi agar generasi akan datang masih boleh melihat hidupan tu.

    ReplyDelete
  6. kerana kerakusan manusia mengejar pembangunan dan kekayaan, spesis2 binatang seperti badak ini semakin pupus. kalau tidak dipelihara nescaya suatu hari nanti generasi akan datang tidak akan mengenal apa yang dinamakan sebagai 'badak'.

    ReplyDelete
  7. harap2 banyak pertubuhan2 bebas dan sukarela membantu dalam menjaga dan melindungi spesis badak ini.

    ReplyDelete
  8. Kita harap ini haiwan yang bakal pupus ini perlu dipelihara dan diawasi sebaiknya.

    ReplyDelete
  9. nasib baik kita masih belum terlewat untuk menyelamatkan spesis ini walaupun jumlahnya agak kritikal.. syabas kepada pihak kerajaan dan juga NGO yang bertungkus-lumus memastikan hidupan liar ini tidak terus diancam kepupusan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Usaha untuk melindungi spesies terancam oleh kerajaan dan NGO memang sangat2 dipuji.

      Delete