Tuesday 21 February 2012

BASMI KEMISKINAN KOMITMEN BERSAMA



Oleh : SHAIMON S JUMADI

TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata Kursus Motivasi dan Kemahiran Pembasmian Kemiskinan Bandar bertujuan untuk memberi latihan kemahiran dan keusahawanan kepada peserta terpilih.

Mereka yang mengikuti kursus tersebut diharap dapat menggunakan peluang ini untuk meningkatkan taraf ekonomi dengan penjanaan pendapatan melalui perniagaan yang dimulakan secara kecil-kecilan.

V.K Liew berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kursus Motivasi dan Kemahiran Pembasmian Kemiskinan Bandar anjuran bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Persatuan Profesional Melayu Malaysia (PPMM) di sini kelmarin.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen P186 Sandakan, Charlie Pang.

Kata V.K.Liew lagi, para peserta yang sudah mendapat bantuan yang diberikan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan Kesejahteraan Bandar dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) serta bantuan daripada PPMM agar dapat digunakan sebaik-baiknya untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi dan seterusnya dapat membawa para peserta keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian berkenaan kerana memberikan dana dalam membantu para peserta untuk lebih maju dan berjaya dalam mengharungi kehidupan di masa akan datang dengan lebih cerah,” ujar V.K.Liew.

Kursus yang diadakan selama 7 hari sebuah hotel terkemuka di bandar ini telah dihadiri seramai 100 orang yang datang dari pelbagai tempat termasuk Beluran, Telupid dan Kinabatangan.

Antara kursus yang dipelajari ialah Kursus Percetakan T Shirt; Kursus Asas Gunting Rambut Lelaki; Kursus Pemakanan Segera (Burger) dan Kursus Peningkatan Skil Sedia Ada.

No comments:

Post a Comment