Friday 3 February 2012

BINGKOR HADAPI MASALAH AIR



PARA peniaga di sekitar Pekan Bingkor di sini, merayu pihak berkuasa agar masalah bekalan air ke gerai-gerai dan tandas pekan itu diperbaiki.

Masalah bekalan air yang berlarutan di satu deret gerai makan di pekan itu menimbulkan banyak masalah dan rungutan, manakala ketiadaan bekalan air di tandas menyukarkan para pelanggan dan pengunjung yang telah berlarutan tanpa diambil perhatian.

Seorang peniaga gerai makan mi sup, Veronica Langkihong berkata, bekalan air ke gerai mereka sangat terhad, dan adakalanya terpaksa membawa air dari rumah kerana tidak mahu perniagaan terganggu.

“Kerap berlaku tiada bekalan air masalah ini sudah lama berlaku tetapi kami tiada tempat untuk mengadu. Bagaimana hendak jalankan perniagaan jika kerap berlaku masalah air malahan adakalanya langsung tiada berhari hari,” kata Veronica.

Sementara itu, seorang peniaga Francis Vincent Tahip berkata, beliau terpaksa pulang ke rumahnya kerana tidak sanggup masuk ke tandas awam satu-satunya di pekan tersebut.

“Adakalanya saya segan juga apabila ada orang luar bertanyakan tandas kerana kami di sini sangat faham dengan keadaan tandas yang kotor disebabkan tiada air untuk membersih. Keadaan ini sudah lama berlarutan dan tidak pernah ada usaha dilakukan,” ujar Francis.

Katanya, para peniaga di pekan itu tiada saluran untuk menyuarakan masalah tersebut. Loji Rawatan Air Bingkor di Bunsit hanya sejauh 6 kilometer ke pekan tersebut.

“Tandas awam di pekan ini dilihat di luar memang cantik tetapi di dalam ianya teruk disebabkan ketiadaan air,” ujar Haslina Abdul Ghani.

Peniaga kuih muih di Pekan Bingkor itu berkata, beliau percaya jika bekalan air di pekan itu berjalan lancar tandas di pekan itu akan lebih terjaga kerana peniaga malahan pengunjung ke pekan itu bukanlah pengotor.

“Kebanyakan dari kami pulang ke rumah masing-masing untuk membuang air kecil mahupun besar kerana tidak sanggup masuk ke tandas itu,” kata Haslina. Kebanyakan peniaga di pekan Bingkor tinggal berhampiran.

Lebih mengharukan lagi kata Haslina ialah apabila di hujung minggu di mana ada tamu di pekan itu dan ramai orang berkunjung ke pekan selepas kembali dari gereja.

“Sebagai peniaga yang berada dekat dengan tandas kami tahan hati dan bersabar dengan bau hancing. Keadaan ini telah kami lalui sekian lama,” ujar Haslina.

“Baru-baru ini sahaja seperti penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1NM) di Dewan Masyarakat Bingkor yang hanya 300 meter dari sini, kami melihat betapa pentingnya tandas itu kepada orang ramai,” kata Haslina.

Melalui tinjuan yang dibuat oleh New Sabah Times di sini, mendapati kebanyakan peniaga disini mengeluh dan merungut dengan ketiadaan air di tandas.

“Terdapat kakitangan Majlis Daerah Keningau ditempatkan disini, tetapi apa yang boleh dibuatnya jika air tidak ada untuk membersihkan tandas,” ujar seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Flora.

Menurut Flora, pembaikan tandas itu kerap dilakukan termasuklah menggantikan mangkuk dan pengecatan bangunan baru-baru ini. Namun masalah bekalan air tidak diperbaiki apatah lagi diatasi,

“Apa guna punya tandas cantik tapi tiada air. Kami difahamkan tandas yang dinaik taraf di Taman Bandukan bukan sahaja cantik tapi masalah bekalan air yang selama ini menjadi rungutan telah pun diatasi,” katanya.

Tandas awam tersebut pernah dibersihkan oleh Pertubuhan Belia Dinamik Pedalaman (PBDP) dengan kerjasama Pusat Tindakan Alam Sekitar Negeri Sabah (EAC).

Sementara itu seorang aktivis masyarakat yang juga anak jati Bingkor, Jailin Lian meminta kerajaan menyelesaikan masalah tersebut yang mungkin telah terlepas pandang dengan segera.

“Ketiadaan Pengerusi Jawatankuasa Dalam Bandar (JKDB) lebih menyukarkan peniaga disini untuk menyampaikan masalah mereka ,” kata Jailin yang merupakan Ketua Wanita , Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Keningau yang membuat pemantauan ke tandas awam di Pekan Bingkor berikutan rungutan orang ramai.

Kata Jailin, ketiadaan bekalan air di gerai dan tandas memberi kesukaran kepada para peniaga dan juga orang ramai. Malahan mencalarkan imej Pekan Bingkor seolah pengotor hanya disebabkan oleh masalah bekalan air tandas.

“Ada beberapa gerai makan disini dan keperluan tandas itu sangat penting. Kita minta pihak Majlis Daerah dan Jabatan Pengairan memantau keadaan ini untuk mendapatkan gambaran sebenar sekaligus selesaikan masalah ini,” kata Jailin yang juga Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Bingkor.

Katanya, kerajaan telah menjalankan kempen kebersihan tandas awam di seluruh negeri malahan pengiktirafan ISO turut diberi.

“Kebersihan tandas tidak seharusnya ditumpukan di kawasan bandar sahaja, walaupun pekan Bingkor sebuah pekan kecil tetapi tandas adalah satu keperluan yang sangat penting, kerana ramai orang lalu disini termasuk ke kawasan rekreasi tidak jauh dari sini,” kata Jailin. Namun tahap kebersihan tandas awam di pekan itu terjejas disebabkan oleh ketiadaan bekalan air.

Beliau juga meminta agar jawatan JKDB segera dilantik bagi mempermudah sebarang masalah yang timbul di pekan tersebut dapat disuarakan dan diselesaikan.“Bekalan air ini sangat penting untuk mereka menjalankan perniagaan dengan selesa, semua orang akan selesa jika bekalan air diselesaikan termasuklah pengguna tandas,” kata Jailin (NEW SABAH TIMES)

Dalam pada itu, Sabahkini.net mendapat maklumat sebentar tadi, Pekan Kunak juga mengalami masalah bekalan air sejak tiga hari lalu tanpa sebarang notis atau maklumat daripada Jabatan Air sehingga menyukarkan para peniaga, terutama pengusaha restoran.

No comments:

Post a Comment