Saturday 4 February 2012

BLUE PRINT MAJLIS DAERAH TONGOD SUDAH SIAP

KERTAS cadangan mewujudkan Majlis Daerah Tongod akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dalam usaha untuk meningkatkan lagi pembangunan di daerah itu, kata Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin.

Katanya pihak Majlis Daerah Kinabatangan (MDK) sudah menyiapkan kertas cadangan itu dan akan dihantar kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri dalam tempoh terdekat ini.

Katanya kertas cadangan itu dihantar kepada kementerian terbabit sebelum dikemukakan kepada kabinet negeri.

"Kita berharap ia dapat diluluskan disebabkan terdapat keperluan mewujudkan Majlis Daerah Tongod terutama meningkatkan lagi pembangunan di kawasan pekan daerah itu," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah 18 anggota MDK di sini hari ini.

Ketika ini, pentadbiran pejabat daerah Tongod terletak di bawah MDK.

Menurut Bung Moktar terdapat keperluan mewujudkan majlis daerah Tongod disebabkan kawasan pentadbiran di bawah MDK yang luas termasuk meliputi daerah Kinabatangan dengan keluasan 6,793 batu persegi (1,759,380 hektar).

No comments:

Post a Comment