Monday 20 February 2012

CYBERJAYA BANDAR MASA DEPAN DUNIA



Oleh : DALILA ABU BAKAR

CYBERJAYA, yang dipilih sebagai satu daripada bandar masa depan, FutureCities 2011 Jepun, dipelawa oleh kerajaan negara itu untuk menghadiri forum antarabangsa mengenai inisiatif bandar masa depan pada 21 Februari.

Bandar-bandar lain yang dipilih sebagai 'FutureCities' yang akan berkongsi inisiatif mereka adalah Copenhagen (Denmark), Malmo (Sweden) dan Surabaya (Indonesia).

Inisiatif berkenaan, 'FutureCity Initiative', merupakan antara projek strategik negara Jepun, yang dikenalpasti dalam Strategi Pertumbuhan Barunya yang telah diputuskan oleh kerajaan Jepun pada Jun 2010.

Tujuan inisiatif itu adalah untuk menyelesaikan isu-isu seperti alam sekitar dan masyarakat meningkat tua untuk mewujudkan bandar raya yang mempunyai nilai yang memberi tumpuan kepada kemanusiaan.

Berdasarkan inisiatif itu, kerajaan Jepun akan memilih beberapa bandar sebagai model pertama FutureCities di Jepun dan akan mendapatkan maklumat mengenai amalan utama dalam bidang pembangunan bandar mampan di dunia.

Kerajaan Jepun menyasar untuk mewujudkan kejayaan yang tiada tandingan bagi mencergaskan semula kawasan bandar/serantau dan merealisasikan ekonomi dan masyarakat yang mampan.

Cyberjaya akan diwakili oleh Pipah Mohd Nasir, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Setia Haruman Sdn Bhd, pemaju induk bandar itu.

Pipah akan berkongsi inisiatif semasa dan masa depan Cyberjaya, kisah-kisah kejayaan dan cabaran dalam merealisasikan matlamat untuk menjadi salah satu Bandar Hijau dunia.

"Kami amat berbesar hati untuk dipilih dan sebagai duta bandar ini. Saya akan berkongsi dengan penonton mengenai inisiatif Cyberjaya, kejayaan dan cabaran dalam Teknologi Hijau dan pertumbuhannya.

"Menjelang 2020, kami berhasrat untuk menjadi Hab ICT Malaysia dan Bandar Bersepadu hijau," kata Pipah kepada Bernama dalam satu temu bual.

Cyberjaya, yang dilancarkan pada Mei 1997, telah memulakan agenda teknologi hijau pada 2010 selari dengan Dasar Teknologi Hijau Malaysia yang dibina atas empat tonggak, iaitu tenaga, ekonomi, alam sekitar dan sosial.

"Bagi Cyberjaya, kita mempunyai sasaran tertentu untuk memenuhi agenda teknologi hijau bersama-sama dengan pihak berkepentingan termasuk Majlis Perbandaran Sepang (pihak berkuasa tempatan), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Cyberview Sdn Bhd, Perbadanan Pembangunan Multimedia, serta pemaju/pelabur dan komuniti Cyberjaya.

"Pertamanya, kami menyasar ekonomi hijau dan pekerjaan mesra alam. Kemudian, kami akan memberi tumpuan kepada masyarakat hijau yang akan diikuti dengan alam sekitar dan kesihatan manusia," kata Pipah.

Beliau berkata kejayaan Cyberjaya dalam mencapai Pensijilan Emas Indeks Bangunan Hijau untuk bangunan SHELL pada Mac 2011 mencerminkan kesungguhannya dalam pembinaan bangunan hijau.

Bangunan mesra alam pertama di Cyberjaya dibina oleh EMKAY Group, iaitu kumpulan pertama di Malaysia melaksanakan cabaran membina bangunan Emas LEED dengan LEED menjadi sistem pensijilan yang diiktiraf antarabangsa untuk bangunan lestari.

Pembentangan Pipah juga akan membabitkan ekonomi hijau Cyberjaya, yang akan mewujudkan 20,000 pekerjaan yang berkaitan mesra alam dengan sasarannya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 33 peratus menjelang 2020.

Pembentangan beliau juga akan meliputi kejayaan dalam mencapai sasaran asas Cyberjaya selama lebih 14 tahun lalu dan rancangannya untuk merealisasikan sasaran keseluruhan menjelang 2020.

Cyberjaya, yang meliputi kawasan seluas 2,800 hektar, koridor pelaburan hot spot. Ia dibahagikan kepada empat kategori pembangunan yang berlainan iaitu kediaman, perdagangan, perusahaan dan institusi.

"Kedua-empat komponen ini sangat unik dan tiada pembangunan lain di Malaysia yang mempunyai sepertinya," kata beliau.

Inisiatif teknologi hijau juga termasuk penanaman 3,000 pokok di kawasan seluas empat hektar, dikenali sebagai 'Hutan Bandar Cyberjaya'.

Beliau berkata dalam tempoh dua tahun akan datang, sebanyak 5,000 hingga 6,000 pokok lagi akan ditanam dan menjelang 2020 akan terdapat sebanyak 150,000 pokok di kawasan itu.

Pipah juga berkata Cyberjaya, sebuah bandar dalam Koridor Raya Multimedia Malaysia, kini mempunyai lebih 35 syarikat multinasional yang beroperasi di bandar itu.

No comments:

Post a Comment